Fahami dan amalkan sedalamnya Rukun Negara

16/09/2020 01:59 PM

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 16 Sept -- Sama ada sedar atau tidak, pengikat keharmonian dan perpaduan yang dinikmati rakyat Malaysia hingga ke hari ini terjelma daripada prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.

Selama 50 tahun bersama rakyat Malaysia, Rukun Negara menjadi kompas atau panduan hidup dalam membentuk sebuah negara bangsa yang makmur dan sejahtera.

Namun, umpama roda kehidupan yang ada turun dan naik, begitu juga dengan semangat rakyat terhadap Rukun Negara, bila mana penghayatan serta pemahaman generasi awal semasa falsafah kebangsaan itu diwujudkan, dilihat tidak lagi subur dan bagai diabaikan terutama oleh generasi muda hari ini.

Kelima-lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara bukan sekadar untuk dilafazkan, tetapi perlu difahami sedalam-dalamnya akan nilai dan kepentingannya terutama dalam masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya di negara ini. 

Sambutan Jubli Emas Rukun Negara tahun ini yang dianjurkan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Perpaduan Negara sejak hampir tiga bulan lepas adalah langkah terbaik dalam memperkasakan kembali penghayatan terhadap Rukun Negara. 

Sepanjang tempoh sambutan, isu perpaduan menjadi  topik utama dibincangkan dan diperdebatkan sama ada secara ilmiah mahupun santai melalui pelbagai medium, baik media sosial, cetak mahupun elektronik.

Matlamatnya ialah untuk masyarakat kembali kepada Rukun Negara yang menjadi pendukung cita-cita ke arah perpaduan lebih erat selain mengekalkan hidup demokrasi, adil serta masyarakat yang progresif berlandaskan sains dan teknologi.

Menelusuri perjalanan kewujudan Rukun Negara yang diisytiharkan secara rasmi pada 31 Ogos 1970, mendedahkan peristiwa berdarah serta air mata, dan diwujudkan bukan sekadar  “suka-suka”, sebaliknya susulan insiden persengketaan kaum pada 13 Mei 1969 yang menggugat perpaduan rakyat ketika itu.

Tokoh seperti bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, dan bekas peguam Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin antara yang berkongsi pengalaman mereka ketika terlibat dalam penggubalan Rukun Negara ketika itu.

Peristiwa itu menjadi sempadan yang mengingatkan seluruh masyarakat betapa pentingnya perpaduan agar sejarah sama tidak berulang.

Secara asasnya semua pihak, daripada pemimpin tertinggi negara hinggalah rakyat biasa, sedar betapa pentingnya Rukun Negara sebagai tunjang perpaduan dan keharmonian nasional  yang perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan sambutan Jubli Emas Rukun Negara pada 9 Julai lepas, turut menekankan tentang kepentingan Rukun Negara dan mahu pendidikan Rukun Negara dijadikan agenda teras kerajaan untuk memastikan rukun itu sentiasa diamalkan dalam masyarakat.

Bersempena Hari Malaysia pada 16 Sept, sambutan Jubli Emas Rukun Negara juga menutup tirainya hari ini dengan siaran khas ‘Rukun Negara Hour’ yang disiarkan secara langsung oleh Bernama TV dan Bernama Radio.

Program selama dua jam bermula 9 pagi  itu diisi dengan perkongsian menarik tetamu jemputan iaitu penerbit dan pengarah terkenal Datuk Rosyam Nor serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye.

Tujuannya bagi memantapkan penghayatan falsafah negara itu dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain itu, buku bergambar berjudul ‘Ikrar Perpaduan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara’ juga akan diterbitkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan matlamat menyemarakkan lagi lima prinsip Rukun Negara.

Pelbagai program dan aktiviti telah dilaksanakan Bernama bagi menyemarakkan sambutan Jubli Emas Rukun Negara, antaranya Jerayawara Sambutan Ulang Tahun Rukun Negara Ke-50, Insta Challenge, Rukun Negara Hour, Webinar, e-Treasure Hunt, Bual Bicara Bersiri dan dokumentari.

Semoga usaha itu bukan titik penamat dalam menyemarakkan penghayatan Rukun Negara yang memerlukan kerjasama daripada semua pihak, tidak kira pemimpin tertinggi atau rakyat jelata.

Sekiranya setiap rakyat negara ini mengambil tanggungjawab melaksanakan semua yang terkandung dan dihasratkan dalam Rukun Negara, negara bertuah Malaysia akan terus aman dan harmoni untuk lebih maju dan membangun pada masa depan.

-- BERNAMA

 

 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan