Jadikan Rukun Negara asas cara hidup, bentuk masa depan Malaysia

16/09/2020 02:21 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept  -- Rukun Negara yang berfungsi sebagai falsafah negara, teras serta kunci kepada kejayaan perpaduan di negara ini perlu dihayati sebagai asas cara hidup rakyat dan membentuk masa depan Malaysia, kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.

Lee yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia berkata Rukun Negara merupakan agenda perpaduan negara dan adalah sangat penting bagi masyarakat mengamalkan Rukun Negara sebagai cara hidup masing-masing

“Saya harap, tidak kira mana-mana parti politik yang menjadi pemerintah, Rukun Negara harus diberikan pendedahan lebih meluas kepada semua lapisan masyarakat,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam siaran khas ‘Rukun Negara Hour’ oleh  Bernama TV dan Bernama Radio, di sini hari ini.

Selain itu, Lee berkata Rukun Negara harus dijadikan pegangan hidup dan diberi pendedahan, terutamanya kepada generasi muda kerana mereka merupakan pelapis pucuk pimpinan negara.

Sementara itu Lee menegaskan, pendedahan Rukun Negara bergantung pada tiga faktor dikenali sebagai tiga 'P' iaitu pendidikan, penghayatan dan pengamalan.

Beliau turut mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan supaya membuat kajian berhubung pendidikan Rukun Negara di sekolah.

“Kita tidak mahu melihat Rukun Negara (hanya) dihafal oleh murid dan pelajar tetapi tidak merasai (menghayati) isi dan maksud kelima-lima prinsip berkenaan.

“Sistem pendidikan Rukun Negara itu bagi saya patut menjadi silibus di sekolah… ia harus bermula di sekolah kerana sekolah merupakan satu tempat, saluran amat penting untuk memupuk perpaduan,” katanya.

Sementara itu, penerbit dan pengarah terkenal Datuk Rosyam Nor yang turut menjadi tetamu dalam program hari ini, berharap kerajaan memikirkan satu penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi industri seni di negara ini.

Menurut Rosyam, sekiranya industri seni mempunyai R&D yang boleh mewujudkan rangka tindak untuk diguna pakai sebagai satu hala tuju, industri itu akan memberikan impak besar kepada negara dalam mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Saya difahamkan di Korea Selatan mereka membelanjakan beratus-ratus juta (wang) untuk membuat R&D, tetapi hasilnya pada hari ini mereka membuat (pulangan) berbilion-bilion.

“Saya rasa R&D untuk Malaysia ini juga kita bukan hanya memanggil orang industri, tetapi keseluruhan orang yang bijak pandai (pakar) dalam bidang masing-masing untuk kita bersama dapat melakukan satu blueprint (rangka tindak) yang hebat,” katanya.

Sehubungan itu, Rosyam berharap kerajaan tidak melihat industri seni sebagai picisan kerana industri itu memainkan peranan penting dalam segala bentuk kemajuan dalam negara termasuk ekonomi, budaya dan lain-lain.

Dalam program hari ini, penonton turut dihiburkan dengan persembahan menarik artis terkenal tanah air Ernie Zakri dan Naim Daniel.

-- BERNAMA

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan