Cadangan wujud pasukan petugas 'Pendidikan Rukun Negara' dibawa ke Kabinet - Saifuddin

08/06/2020 01:17 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jun  -- Cadangan untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas bagi menyediakan kandungan dan program jangka panjang ‘Pendidikan Rukun Negara’ akan di bawa ke Kabinet untuk kelulusan. 

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata hasil perbincangan pihaknya pada 4 Jun lepas bersetuju bahawa pasukan itu akan diketuai oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique. 

“Tujuannya ialah supaya Rukun Negara diserapkan secara formal dan tidak formal, dan dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan medium, agar ia benar-benar dijiwai dalam hati secara berkekalan dan berkesan.

“Semua ini adalah dengan matlamat untuk memperbaharui komitmen dan meningkatkan penghayatan Rukun Negara, termasuklah kefahaman terhadap kepentingan dan peranan Institusi Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Menjelas lanjut, Saifuddin berkata pihaknya turut mencadangkan beberapa aktiviti bagi Program Khas Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara bersempena Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan 2020 yang akan dibawa ke kabinet untuk kelulusan.

Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, Saifuddin turut menekankan peranan Ketua Utama Negara Malaysia itu sebagai payung perpaduan rakyat.

Katanya pengisytiharan Rukun Negara oleh Yang di-Pertuan Agong keempat, Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin Muazzam Shah pada 31 Ogos 1970 telah menyelamatkan negara dengan cara memupuk kembali perpaduan dalam kalangan rakyat.

Ia susulan peristiwa 13 Mei 1969 yang melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia, katanya.

-- BERNAMA

 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan