Keharmonian, perpaduan rakyat Malaysia mantap menerusi Rukun Negara

22/06/2020 05:03 PM

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 22 Jun -- Keharmonian dan perpaduan yang diamalkan rakyat pelbagai kaum sepanjang lima dekad ini begitu jitu dan secara langsung mencerminkan pegangan hidup berpaksikan lima prinsip Rukun Negara tidak luntur dalam apa jua keadaan dihadapi negara.

Malah, Rukun Negara yang akan menyambut Jubli Emas pada 31 Ogos ini membuktikan kematangan prinsip tersebut yang menjadi pemacu peribadi murni rakyat walaupun ada yang mempertikaikan semangat dan penjiwaannya yang kononnya pudar sedangkan ia hanya satu andaian semata-mata.

Bukti yang nyata, keamanan masih memayungi negara bertuah Malaysia berlandaskan prinsip Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan  dan Kesusilaan.

Asas utama wujudnya Rukun Negara adalah untuk memperkukuh dan mengembalikan perpaduan kaum di Malaysia susulan peristiwa 13 Mei 1969 sehingga memaksa penggantungan sesi Parlimen dan diisytiharkan darurat.

Berikutan peristiwa itu, Jabatan Perpaduan Negara diwujudkan pada 1 Julai 1969 dan Majlis Muhibbah pada 18 Julai 1969.

Namun detik-detik pemulihan perpaduan kaum bermula sebelum itu dengan penganjuran pelbagai aktiviti seperti jamuan makan durian selama tiga bulan dari Jun hingga Ogos yang melibatkan kehadiran orang ramai.

Salah seorang yang terlibat dalam usaha pemulihan ketika pasca 13 Mei 1969 ialah Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin yang membuat persembahan muzik semasa jamuan durian di sekitar Kuala Lumpur

"Tujuan jamuan durian ketika itu tidak lain hanya untuk menstabilkan semula keadaan yang kacau ketika itu," kata bekas penuntut Maktab Tentera Diraja itu. 

Bagi dirunya Rukun Negara adalah sebagai satu tindakan konkrit untuk mengembalikan semula ketenangan dan keharmonian rakyat dan kestabilan negara berikutan krisis perkauman yang berlaku ketika itu.

"Tidak boleh membincangkan Rukun Negara tanpa membincangkan isu perpaduan," katanya kepada Bernama sempena sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan 2020, yang dijadual 7 Julai depan.

Sesuai digunakan sepanjang masa dari generasi ke generasi, Rukun Negara menurut Samsul Amri,  tiada jangka hayat dan bergerak seiring dengan perubahan mengikut tiga fasa utama.

Fasa keselamatan dan kestabilan pada 1969 hingga 1990, fasa kestabilan dan ketenangan pada 1990 hingga 2008 dan fasa kesepaduan sosial pada 2008 hingga 2018.

Jelas beliau, peringkat pertama dalam Rukun Negara lebih kepada usaha menstabilkan masyarakat yang tidak berpuas hati dengan ekonomi, politik dan sosial ketika itu yang menyebabkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan. 

Peringkat kedua pula memperlihatkan masyarakat yang semakin bijak dalam membuat penilaian dan pertimbangan iaitu perubahan daripada buta huruf kepada celik huruf dan celik politik.

"Rakyat ketika ini lebih matang dan dewasa yang secara tidak langsung memahami apa yang terdapat dalam prinsip Rukun Negara. Mereka semakin faham tentang pemisahan kuasa raja dengan perundangan, Parlimen, Perlembagaan dan sebagainya.

“Apabila rakyat semakin matang, ia kemudian membawa kepada konsep kesepaduan pada fasa ketiga di mana kita bersetuju untuk bersetuju dan kita bersetuju untuk tidak bersetuju," katanya.

Dalam erti kata lain, beliau berkata rakyat Malaysia semakin menerima adat dan budaya yang menjadi persetujuan yang tidak bertulis sesuai dengan keperluan masyarakat majmuk di negara ini.

Samsul Amri berkata walaupun sukar untuk mengukur penghayatan rakyat Malaysia pada lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara, namun ia sebenarnya boleh dilihat bagaimana masyarakat menjelmakannya dalam kehidupan mereka.

"Selagi wujud kepercayaan kepada Tuhan dan agama, selagi ada kesetiaan kepada Raja dan Negara, selagi Perlembagaan masih berjalan, selagi rakyat masih menghormati undang-undang dan masih berpegang pada adat kesopanan dan kesusilaan, selagi itu Rukun Negara memberi kesan kepada rakyat," katanya.

Mengambil contoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang masih berjalan sehingga ke hari ini bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, beliau berkata rakyat secara umumnya menghormati undang-undang yang ditetapkan kerajaan sepertimana diinginkan dalam Rukun Negara.

"PKP ini menunjukkan kepatuhan rakyat dan umumnya mereka mahukan keamanan dan perpaduan itu terus menjadi benteng utama negara. Inilah kehebatan rakyat Malaysia yang matang dan ia menjadi pengukur kejayaan Rukun Negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan