40,000 peluang pekerjaan menerusi inisiatif PENJANA HRDF

22/06/2020 07:38 PM

PUTRAJAYA, 22 Jun -- Sebanyak 40,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan untuk rakyat tempatan yang menganggur dan hilang pekerjaan ekoran pandemik COVID-19, menerusi Inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) HRDF, yang dilancarkan hari ini.

“Peluang pekerjaan ini akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh enam bulan dari sekarang,” kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan.

Buat permulaan Saravanan berkata, di bawah inisiatif itu, 10 organisasi terlibat untuk menawarkan 20,000 peluang pekerjaan.

Organisasi itu ialah Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom); Tenaga Nasional Bhd (TNB); Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC); Brickfields Asia College; Federation of Malaysian Manufacturer; 7Eleven; AEON; Grab; Kelly; dan Care Concierge.

Berucap ketika melancarkan Inisiatif PENJANA HRDF itu di sini Saravanan berkata, 10 organisasi itu akan menawarkan peluang pekerjaan serta latihan kemahiran, menerusi lima inisiatif strategik yang disediakan HRDF.

Lima inisiatif tersebut ialah penempatan dan latihan; peningkatan kemahiran dan latihan kemahiran baharu; pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS); pembangunan B40; dan gerak insan gemilang (GIG).

Saravanan berkata, kumpulan sasaran inisiatif itu ialah graduan menganggur yang mempunyai diploma atau ijazah, pekerja tempatan yang bersedia menceburi Revolusi Industri ke-4, pemilik dan pekerja (PKS), rakyat Malaysia dari kumpulan B40 dan golongan belia.

Katanya, HRDF memperuntukkan RM250 juta geran padanan menerusi Inisiatif PENJANA HRDF.

“Mereka yang hilang pekerjaan ataupun graduan yang masih menganggur, perlu mengambil peluang ini untuk mendapatkan pekerjaan, di samping meningkatkan kemahiran diri agar kekal relevan dalam pasaran pekerjaan,” katanya.

Rakyat Malaysia yang berminat, untuk mendapatkan pekerjaan serta mengikuti latihan peningkatan kemahiran dan juga latihan semula menerusi Inisiatif PENJANA HRDF, boleh mendaftar di portal www.penjanahrdf.com.my mulai hari ini.

-- BERNAMA

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan