Rukun Negara: Sekadar Tahu, Faham Atau Dihayati?

24/06/2020 09:25 AM

Oleh Shanika AbdulLatib

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Masihkah ingat, saat perhimpunan mingguan di sekolah, seusai menyanyikan lagu Negaraku, kita dengan penuh bersemangat dan suara lantang, mengangkat ikrar melafazkan ikrar Rukun Negara.

Malah pada halaman kulit belakang buku latihan pula, tercetak kemas lima prinsip Rukun Negara, yang tanpa kita sedar sudah mencecah usia 50 tahun selepas pertama kali diisytihar oleh Yang di-Pertuan Agong keempat, Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin pada 31 Ogos 1970. 

Begitu pantas masa berputar dan agaknya bilakah kali terakhir anda melafazkan kelima-lima prinsip Rukun Negara itu? Dan secara jujurnya, sejauh mana anda faham dengan prinsip-prinsip berkenaan? Apakah anda juga mempraktikan prinsip tersebut dalam kehidupan seharian?

 

PEMAHAMAN DAN PENGHAYATAN MASIH DANGKAL

Walaupun pahit untuk ditelan, sepanjang 50 tahun ini, Rukun Negara mungkin sudah jauh daripada sanubari serta kehidupan rakyat Malaysia. Mungkin juga ramai sudah lupa bahawa tujuan utama lima prinsip Rukun Negara itu adalah untuk "membentuk perpaduan yang kukuh" serta "kunci kepada keharmonian dan perpaduan” masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Situasi ini nyata membenarkan kata-kata mantan perdana menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein iaitu "rahsia kesempurnaan Rukun Negara adalah dengan amalannya. Tanpa amalan Rukun Negara akan menjadi secebis dokumen yang tidak mempunyai makna."


Prof Datuk Dr Teo Kok Seong

Berkongsi pandangan, Felo Utama Bersama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, Rukun Negara tidak seharusnya sekadar perhiasan di bibir atau dihafal untuk ikrar saja tanpa memahami dan mempraktikannya dalam kehidupan seharian.

“Bagi saya, kefahaman masyarakat mengenai prinsip Rukun Negara ini masih lagi dangkal, malah jauh sekali menghayatinya.

"Bagaimana hendak hayatinya sedangkan ia dilancarkan dalam bentuk kita menghafal sahaja lima prinsip tersebut,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di ATMA baru-baru ini. 

Beliau ditemu bual Bernama sempena sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan 2020, yang dijadual pada 7 Julai depan.

Menurut Teo, kelompongan itu juga menjadi antara sebab mengapa sehingga kini masih lagi timbul isu pertikaian mengenai bahasa kebangsaan, gagal menjunjung keluhuran Perlembagaan serta menghina sistem beraja, yang secara terbuka mencemarkan imej prinsip Rukun Negara kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.


The hibiscus flower (scientific name Hibiscus Rosasinensis) was declared Malaysia's national flower on July 28, 1960. --fotoBERNAMA (2020) ALL RIGHTS RESERVED

Sebagai latar belakang, Malaysia menjadikan Pancasila - lima prinsip yang merupakan dasar negara Indonesia yang ‘lahir’ pada 1945 sebagai panduan merangka Rukun Negara untuk menyatu padukan masyarakat di negara ini selepas berlakunya "peristiwa hitam ​13 Mei 1969".

“Di Indonesia, falsafah Pancasila diambil serius oleh masyarakatnya kerana di dalammya ada pengisian yang cukup mempengaruhi kehidupan seharian mereka.

"Kita (Malaysia) ambil prinsip itu namun pelaksanaannya sangat lemah kerana kerajaan hanya wujud dan gubal, lalu di serah kepada rakyat untuk difahami sendiri. Tiada pengisian dan pemahaman secara harfiah mengenai Rukun Negara itu sendiri," tambahnya.

 

TIANG SERI PERPADUAN NEGARA 


The Jalur Gemilang... the Malaysian flag flies proudly. --fotoBERNAMA (2020) ALL RIGHTS RESERVED

Bertepatan dengan sambutan Jubli Emas Rukun Negara, Teo mengharapkan 'tiang seri’ perpaduan negara itu diperkukuh dengan pemahaman dan penghayatan masyarakat yang lebih jitu. 

“Untuk menyemarak dan menyemai semula kefahaman serta penghayatan prinsip ini, rakyat Malaysia termasuk kerajaan perlu berjiwa besar untuk mengakui kesilapan 'mengabaikan' pengisian Rukun Negara itu selama 50 tahun.

“Kita sudah terlepas beberapa generasi dan itu sesuatu yang tidak boleh kita betulkan tetapi apa yang boleh kita lakukan, jangan teruskan kesilapan orang lama yang 'meminggirkan' pengisian Rukun Negara itu,” tegasnya.

Justeru Teo mencadangkan Akademi Kenegaraan menggalas tanggungjawab dengan mewujudkan satu kokurikulum khas mengenai pengisian Rukun Negara memandangkan sehingga kini tiada satu pun dokumen yang dikeluarkan oleh mana-mana agensi kerajaan mengenai pengisian setiap prinsip Rukun Negara itu.

Ini secara tidak langsung sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas bagi menyediakan kandungan dan program jangka panjang ‘Pendidikan Rukun Negara’. 

Bernama sebelum ini melaporkan, cadangan tersebut akan di bawa ke Kabinet untuk kelulusan seperti mana yang dicadangkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedi, Datuk Saifuddin Abdullah baru-baru ini.

Di samping itu, pasukan yang akan diketuai Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique itu juga akan berfungsi supaya Rukun Negara diserapkan secara formal dan tidak formal dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan medium, agar ia benar-benar dapat dijiwai secara berkekalan dan berkesan.

 

RUKUN NEGARA DIHORMATI BELIA

​​​​​​​


Kemas preschoolers waving the national flag. --fotoBERNAMA (2020) ALL RIGHTS RESERVED

Sementara itu, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid yang turut berkongsi pendapat menjelaskan di dalam skop yang lebih luas dan Rukun Negara sebenarnya masih dihayati oleh rakyat Malaysia.

“Rukun Negara yang dirangka setelah tempoh gelap negara kita pada tahun 1969 telah dan seharusnya terus menjadi panduan untuk seluruh rakyat Malaysia membina negara Malaysia yang maju, progresif, serta harmoni,” katanya. 

Tidak menolak belia Malaysia masih menghormati institusi beraja dan pemerintahan negara, Mohd Izzat Afifi turut mengakui kefahaman berkenaan Perlembagaan Persekutuan dan juga kedaulatan undang-undang di kalangan rakyat Malaysia semakin bertambah.

“Bukan itu saja, wacana dan perbincangan berkenaan isu-isu semasa yang berkaitan Rukun Negara semakin terbuka walaupun mereka tidak membincangkan Rukun Negara secara khusus dan terperinci,” katanya.

 

MEMBUDAYAKAN RUKUN NEGARA

Turut senada dengan Teo yang menyatakan mekanisme terbaik untuk memastikan penghayatan generasi muda terhadap Rukun Negara ialah melalui pendidikan, Mohd Izzat Afifi menjelaskan pendedahan kepada Rukun Negara seharusnya dilakukan seawal mungkin.

“Pengajaran berkenaan Rukun Negara juga tidak seharusnya terhad kepada penghafalan semata-mata tetapi harus diperincikan dan diberikan penerangan yang lebih mendalam mengikut tahap samada di sekolah rendah, sekolah menengah mahupun pendidikan tingg​i.

“Selain itu, usaha membudayakan Rukun Negara harus dilakukan. Maksud membudayakan Rukun Negara di sini ialah Rukun Negara harus di ketengahkan di dalam semua perkara, bukan sekadar di acara mahupun urusan rasmi kerajaan semata-mata,” jelasnya.

Menurut Mohd Izzat Afifi, Rukun Negara juga seharusnya berada di dalam semua industri yang wujud di negara ini, termasuklah industri seni hinggalah melibatkan sektor ekonomi negara.

“Contoh yang boleh kita ambil ialah penghayatan dan berakarnya kefahaman rakyat Indonesia dengan Pancasilanya, hingga boleh kita lihat falsafah Pancasila itu berada di dalam perfileman mahupun kartun keluaran negara berkenaan.

“Maka pembudayaan Rukun Negara ini penting untuk memastikan kelima-lima prinsip tersebut tidak hanya dihafal untuk lulus peperiksaan semata mata, tetapi dihayati dalam kehidupan seharian rakyat,” katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan