Prinsip Rukun Negara perlu diamalkan, dihayati - Belia

29/06/2020 11:01 AM

Oleh Nurfardlina Izzati Moktar

SEREMBAN, 29 Jun -- Lima prinsip Rukun Negara perlu digenggam kemas setiap lapisan masyarakat kerana ia terbukti menjadi kunci kepada keutuhan perpaduan dan keharmonian antara kaum sejak sekian lama di negara ini.

Itu adalah pandangan beberapa belia dan mereka turut menyifatkan penghayatan terhadap prinsip berkenaan adalah perlu bagi memastikan negara terus makmur, membangun dan berdaya saing serta gemilang di masa hadapan.

Lulusan Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, Sin Run Hui, 24, berkata setiap rakyat bukan sahaja perlu mengetahui bahkan perlu memahami makna tersurat dan tersirat Rukun Negara kerana ia mewujudkan satu kesedaran kepada rakyat mengenai perpaduan selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Katanya Rukun Negara sangat penting kerana ia merupakan panduan kepada rakyat Malaysia agar membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu, menghormati dan mematuhi undang-undang.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya akan menerapkan amalan serta mematuhi kesemua prinsip dalam Rukun negara. Mengambil contoh prinsip kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan misalnya, saya akan mengelakkan diri menyebarkan berita palsu, fitnah, menyentuh isu sensitif dan buli siber," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini. 

Negara akan menyambut ulang tahun ke-50 Rukun Negara bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan 2020, yang dijadual pada 7 Julai ini.

Mengulas lanjut, Sin juga berharap penyebaran berita palsu dewasa ini, dilihat sebagai antara faktor yang akan menjejaskan perpaduan negara, dibendung bukan sahaja menerusi tindakan undang-undang bahkan menerusi amalan dan penghayatan prinsip Rukun Negara.

Rukun Negara mengandungi lima prinsip - Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang; dan Kesopanan Dan Kesusilaan.

Peniaga, Muhammad Fikri Ramlan, 19, berkata Rukun Negara merupakan asas panduan kepada kehidupan rakyat dalam membentuk jati diri yang kukuh.

"Penghayatan prinsip Rukun Negara ini mampu membentuk jiwa bangsa Malaysia yang mempunyai semangat patriotik, bersatu padu dan patuh kepada peraturan ditetapkan,” katanya.

Kru filem, M. Rajasuriah, 32, berkata lima prinsip Rukun Negara pada  pandangannya mampu memupuk semangat cintakan tanah air serta mewujudkan nilai murni dan toleransi yang tinggi dalam kalangan rakyat. 

“Ini sangat penting jika kita mahu negara kita kekal aman, makmur dan berjaya menjadi negara maju pada masa akan datang,” katanya yang turut menaruh harapan agar semua masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik bersama-sama berganding bahu memajukan serta melakukan terbaik untuk negara.

-- BERNAMA

 

 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan