Keluhuran Perlembagaan pengikat perpaduan negara

01/07/2020 11:28 AM

Oleh Anis Nabilla Md Wazilah

KUALA LUMPUR, 1 Julai -- Isu perpaduan terutama berkaitan hubungan pelbagai bangsa, agama dan budaya menjadi topik “malar segar” yang sering menjadi perbincangan segenap lapisan masyarakat.

Kerencaman sosial yang wujud melalui integrasi diamalkan di negara ini membolehkan kepelbagaian identiti etnik, kepercayaan, bahasa dan budaya yang terdapat di negara ini diterima secara bersama dalam kalangan masyarakat.

Tidak dinafikan, wujud ketegangan sosial dalam menjaga hak dan tuntutan sesuatu etnik namun kestabilan dan keharmonian masih diikat kemas melalui Perlembagaan Persekutuan yang dijadikan panduan dan teras perpaduan untuk menjamin kemajuan negara.

Menurut Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, keagungan dan kemuliaan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi membawa kepada Keluhuran Perlembagaan dalam prinsip Rukun Negara sebagai ejen penyatuan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Katanya Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kesamarataan yang amat penting bagi mengelak berlakunya diskriminasi dan ketidakadilan kepada rakyat termasuklah dari segi agama, bangsa, keturunan dan jantina.

“Ini (Perkara 8) memastikan semua akan dilayan sama rata dari segi undang-undang. Dengan itu tidak ada yang boleh mendakwa yang dia lebih tinggi daripada undang-undang atau hanya kaum atau pihak tertentu sahaja akan dilindungi undang-undang.

“Jika prinsip ketiga ini difahami, diterima dan dipatuhi, ia akan membawa kepada penyatuan masyarakat dan kerana itu keluhuran dan kemuliaan perlembagaan negara perlu dipertahankan,” katanya kepada Bernama sempena sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan 2020, yang dijadual pada 9 Julai ini.

Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 susulan peristiwa 13 Mei 1969 mengandungi lima prinsip - Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang; serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Menjelaskan lanjut tentang peranan Perlembagaan Persekutuan, Khairil Azmin berkata sebagai undang-undang utama negara, fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini mengenai hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara.

Tegasnya, setiap warga Malaysia perlu menghormati, menghargai serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan perlembagaan negara bagi mengelak masyarakat menjadi kucar-kacir dan hilang arah tujuan.

“Perlembagaan mengandungi asas-asas persetujuan dan persefahaman antara pelbagai bangsa yang hidup di negara ini. Selain mengiktiraf hak warganegara semua bangsa, ia juga memberikan kedudukan istimewa kepada orang Melayu dan Bumiputera, Bahasa Melayu, Agama Islam dan Sultan-Sultan Melayu yang merupakan penduduk dan pemerintah asal serta agama yang diamalkan kaum Bumiputera Tanah Melayu,” katanya dan menurutnya sebarang usaha membelakangkan Perlembagaan tidak dibenarkan kerana tindakan itu menyalahi undang-undang.

Jelas Khairil Azmin, banyak pengajaran boleh diambil daripada peristiwa 13 Mei 1969 terutama bagi memastikan penyatuan masyarakat berbilang kaum di negara ini dapat menjamin keamanan dan kemakmuran yang dikecapi hari ini terus terpelihara.

Tegas beliau hak kebebasan dalam Perlembagaan perlu mempunyai hadnya terutama kebebasan bersuara.

“Jika digunakan untuk menafikan hak orang lain, membuat fitnah dan kacau bilau yang boleh menyebabkan pergeseran dan perbalahan kaum, ini menunjukkan kebebasan telah disalah gunakan,” katanya.

Beliau berkata kawalan kebebasan itu tidak bermaksud demokrasi dikekang dan dibataskan sebaliknya had ini digunakan untuk memelihara demokrasi.

“Amerika Syarikat yang mempunyai undang-undang tertua yang dijadikan contoh dalam sistem demokrasi juga gagal membendung rusuhan akibat diskriminasi kaum.

“Di Malaysia, Perlembagaan yang usianya lebih muda daripada Amerika Syarikat tetapi kita berjaya mengelakkan keadaan sebegini berlaku kerana usaha memartabatkan Perlembagaan dan menghargai Perlembagaan yang ada,” kata  Khairil Azmin.

Sementara itu, Felo Penyelidik Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Muhammad Fathi Yusof  berkata insiden 13 Mei 1969 yang menyebabkan penggubalan Rukun Negara perlu diterangkan dengan jelas kepada masyarakat terutama kepada generasi muda agar peristiwa berkenaan tidak berulang pada masa hadapan.

Katanya walaupun perkara itu sensitif namun semua pihak perlu bersikap jujur dalam menjelaskan apa yang berlaku.

“Kita perlu bercerita tanpa perlu ada elemen berat sebelah atau tidak adil pada mana-mana pihak tetapi mengingatkan tentang pentingnya masyarakat mengingati risiko kepada peristiwa tersebut agar ia tidak berulang

“Kerana itu Keluhuran Perlembagaan itu perlu dihayati bukan sekadar apa tersurat yang boleh kita nampak dalam perlembagaan yang bertulis, tetapi ada di sebalik itu. Contohnya keunikan dari segi aspek kenapa hak istimewa orang Melayu atau Bumiputera yang ada dalam perlembagaan itu perlu difahami,” katanya.

Jelas beliau, semua pihak perlu melihat kembali sejarah bagaimana negara ini dibentuk yang melalui satu proses kontrak sosial atau persefahaman antara pelbagai kaum atau kelompok dalam masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan