Rukun Negara perlu dihayati, bukan hanya lafaz pada perhimpunan sekolah

09/07/2020 05:32 PM

PUTRAJAYA, 9 Julai -- Lima prinsip Rukun Negara seharusnya benar-benar dihayati terutamanya dalam kalangan generasi muda dan tidak hanya dilafazkan semasa ikrar pada perhimpunan sekolah.

Demikian pandangan disuarakan sebahagian daripada enam pelajar sekolah yang terpilih melafazkan ikrar Rukun Negara bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pelancaran sambutan Ulang Tahun Rukun Negara ke-50, di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Dina Aisha Nur Muhammad Insan, 16, berkata penghayatan prinsip-prinsip itu dalam kalangan masyarakat perlu lebih disemarakkan kerana ia penting untuk mengekalkan perpaduan antara kaum dan keamanan yang dikecapi selama ini.

"Kepada rakan-rakan di luar sana, kita tidak boleh menganggap penghayatan Rukun Negara ini satu perkara yang remeh dan ia sepatutnya menjadi keutamaan kerana kita adalah generasi yang akan mengambil alih pentadbiran negara," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8(1) itu.

Chen Jun Voon, 16, yang menyuarakan keterujaan dapat melafazkan ikrar Rukun Negara bersama Perdana Menteri, berkata falsafah itu ialah identiti negara dan jika dihayati akan membangkitkan rasa cinta dan hormat kepada negara.

"Generasi muda perlu lebih mengenali negara melalui Rukun Negara," kata pelajar SMK Tinggi Kajang, Selangor.

Anak kepada tukang kayu dan suri rumah itu berkata anak muda akan lebih mengambil tahu perkembangan dalam negara, misalnya kejayaan Malaysia menangani wabak COVID-19. 

Jaslynn Antra Joseph, 16, pula berkata sebagai pengawas sekolah yang sering melafazkan ikrar Rukun Negara di hadapan murid lain, beliau merasakan lima prinsip berkenaan belum benar-benar meresap dalam diri generasi muda.

"Sebelum Rukun Negara dibentuk, negara menghadapi masalah antara kaum, jadi saya berharap semua rakyat Malaysia dapat menghayati Rukun Negara supaya perpaduan negara terus kekal," katanya.

Pelajar SMK Taman Connaught, Cheras itu berkata sekiranya semua rakyat Malaysia menghayati Rukun Negara, segala masalah terutamanya yang melibatkan kaum akan dibincangkan secara baik dan bertolak ansur.

Sambutan Jubli Emas Rukun Negara selama tiga bulan yang dilancarkan hari ini adalah usaha kerajaan meningkatkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia ketika menghadapi cabaran dari dalam dan luar negara.

Dianjurkan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Perpaduan Negara, pelbagai program telah dirancang, antaranya Insta Challenge, Rukun Negara Hour, Webinar, e-Treasure Hunt, Pengisahan Negara, Ted Talk Kenegaraan, Bual Bicara Bersiri, Dokumentari dan Bicycleton.

-- BERNAMA

 

 

 

 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan