Prinsip Rukun Negara banjiri media sosial bersempena sambutan jubli emas 

09/07/2020 06:08 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai -- Netizen hari ini membanjiri platform media sosial dengan lima prinsip Rukun Negara bersempena sambutan jubli emas yang diraikan sebagai sebahagian usaha kerajaan untuk mengukuhkan lagi perpaduan rakyat Malaysia.  

Pemerhatian Bernama mendapati pengguna Facebook dan Twitter memuat naik hantaran-hantaran positif selepas pelancaran sambutan yang disempurnakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya hari ini. 

Bersempena sambutan itu, Perdana Menteri turut melancarkan logo sambutan 50 tahun Rukun Negara serta setem peringatan bertemakan “Lima Puluh Tahun” dalam lima reka bentuk dengan setiap satu menampilkan satu daripada lima prinsip Rukun Negara.

Pengguna Twitter @AidanAlfatih memuat naik: "Selamat menyambut ulang tahun RUKUN NEGARA yang ke-50! Semoga kesucian keharmonian perpaduan tidak terhakis dan dikikis punah dek hasutan membuta tuli selari dalam menongkah arus globalisasi #RukunNegara #Malaysia. 

Seorang lagi pengguna Twitter user @tharmarajs6 pula membuat hantaran, dibaca: “5 prinsip Rukun Negara yang harus kita amalkan terutama kepada generasi muda. #5Prinsip5Dekad# RukunNegara50Tahun #Rukun Negara.”

Sementara itu, Waz Dzar Mo dalam hantaran Facebook berharap rakyat Malaysia kekal selamat dan bersatu.

“Diasaskan pada tahun 1970. Tahun 2020, cukup 5 dekad Rukun Negara diasaskan. Semoga kita sentiasa dalam keamanan, perpaduan yang utuh dan lebih erat antara satu sama lain,” katanya.

Kebanyakan pengguna media sosial yang dilayari Bernama menampilkan semangat kenegaraan yang tinggi dengan mengongsikan lima prinsip Rukun Negara: Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-undang, serta Kesopanan dan Kesusilaan.   

Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong pada masa itu Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin susulan insiden 13 Mei 1969, dengan matlamat memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa, agama, budaya dan kepercayaan.

Pelbagai kegiatan dan program telah disusun bersempena sambutan jubli emas itu oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Perpaduan Negara bermula hari ini hingga 16 Sept ini.

Antara aktiviti tersebut ialah Insta Challenge, Rukun Negara Hour, webinar, e-Treasure Hunt,  Ted Talk Kenegaraan, bual bicara bersiri, dokumentari dan Bicycleton.

-- BERNAMA

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan