PM Muhyiddin lawat Galeri Rukun Negara

09/07/2020 07:11 PM

PUTRAJAYA, 9 Julai  -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa melawat galeri dan pameran memaparkan bahan-bahan dan gambar-gambar bersejarah penggubalan Rukun Negara selepas melancarkan sambutan 50 Tahun Rukun Negara di sini, hari ini.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Suhaimi Sulaiman memberikan taklimat kepada Perdana Menteri semasa lawatan itu di Bangunan Perdana Putra, lokasi majlis pelancaran sambutan itu.

Sekeping kertas yang memaparkan Minit Mesyuarat Pertama Penggubalan Rukun Negara merupakan antara tarikan utama di galeri tersebut.

Minit bertarikh 30 Mac 1970 yang diadakan di Treasury, Kuala Lumpur pukul 10 pagi mencatatkan mesyuarat itu yang dipengerusikan Tun Tan Siew Sin (bekas Menteri Kewangan) dan antara yang hadir Tan Sri Muhammad Ghazali Shafie (bekas Menteri Dalam Negeri).

Minit mesyuarat tersebut yang merupakan detik-detik awal penggubalan Rukun Negara dalam usaha menyatupadukan rakyat Malaysia, disediakan oleh Arkib Negara.

Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong IV Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, susulan peristiwa 13 Mei 1969, bagi mencapai perpaduan lebih erat antara rakyat. 

Pameran itu turut memaparkan keratan akhbar dan 81 keping  gambar yang disediakan oleh Bernama, Arkib Negara  dan Jabatan Penerangan.

Gambar-gambar itu menceritakan detik-detik awal penggubalan Rukun Negara manakala keratan akhbar pula tentang pelancaran Rukun Negara yang diterbitkan pada 1 September 1970.

Akhbar The Straits Times dengan berita muka depan "5-Point guide for all" dan akhbar berbahasa Melayu Utusan Malaysia memaparkan "Lima prinsip Rukun Negara", turut dipamerkan.

Galeri dan pameran itu berkonsepkan terowong masa yang mengandungi tujuh panel dengan setiap panel mewakili lima prinsip Rukun Negara dan dua lagi memaparkan sejarahnya dan keratan akhbar yang berkaitan.

-- BERNAMA


 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan