Fahami bahagian pertama objektif Rukun Negara - Pensyarah

09/07/2020 08:32 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai -- Lima objektif yang merupakan bahagian pertama di dalam Rukun Negara seharusnya turut ditekankan untuk dipupuk serta disemat agar memberi kesan penghayatan yang lebih mendalam terhadap jati diri setiap warganegara Malaysia.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata objektif Rukun Negara merupakan aspek penting yang menghuraikan maksud berkaitan asas pembentukan negara.

“Kita hanya tahu dan ingat lima tunjang yang sering menjadi ikrar sebagai janji taat setia kepada negara. Sebenarnya lima prinsip itu merupakan bahagian kedua yang terkandung di dalam Rukun Negara.

“Bahagian pertama, iaitu objektif atau pendahuluan Rukun Negara yang terkandung ideologi sebenar pembentukan keharmonian di Malaysia yang sepatutnya diperkenalkan sejak awal kepada setiap rakyat,“  katanya.

Beliau mengulas perkara itu ketika menjadi tetamu program Khas Grand Stand Bernama TV sempena majlis pelancaran ulang tahun ke-50 Rukun Negara yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Bernama TV di sini, hari ini.

Mohd Azizuddin berkata apabila asas atau objektif kepada pembentukan Rukun Negara tidak diberi perhatian serta dianggap tidak penting, maka timbulah pertikaian tentang Perlembagaan Persekutuan, Sistem Beraja malah isu-isu berkaitan agama turut dibangkitkan.

“Untuk memahami ikrar yang dilafazkan, objektif asas Rukun Negara perlu difahami dengan jelas. Lima objektif Rukun Negara iaitu yang pertama, mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh rakyat yang menggambarkan aspek ikatan atau perpaduan.

“Kedua, memelihara satu cara hidup demokratik, bermaksud asas pentadbiran negara dengan amalan demokrasi harus dilindungi, Ketiga; mencipta satu masyarakat yang adil dengan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.

“Keempat; membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak, menggambarkan masyarakat berbilang bangsa dan agama dan objektif kelima; membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden dalam merancang pembangunan negara,” katanya.

Apa yang lebih penting, katanya Rukun Negara bukan sekadar perlu dihafal ketika sesi perhimpunan tetapi setiap ikrar tersebut perlu difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan harian.

“Kita tidak mengambil peluang menghayati Rukun Negara menyebabkan kita lupa asas-asas yang terbina di dalam negara khususnya dalam kalangan generasi selepas merdeka dan setelah terbentuknya Rukun Negara,” katanya menambah akibat kurangnya penghayatan sedemikian, selepas 50 tahun barulah usaha pemahaman dan asas (Rukun Negara) hendak dihidupkan semula.

“Ia bukan sesuatu yang mudah, saya lihat perlu usaha berterusan yang harus mula diperkenalkan sejak dari peringkat awal pendidikan seperti di prasekolah, kemudiannya diingati serta difahami apabila telah dewasa,” jelasnya.

Dalam pada itu Mohd Azizuddin berkata kerajaan dilihat begitu serius dalam usaha menghidupkan kembali asas perpaduan kaum dalam kalangan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

“Menjadi sesuatu yang signifikan apabila seorang perdana menteri sendiri mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara pada majlis pelancaran ulang tahun Rukun Negara hari ini kerana pastinya untuk menyuburkan agenda perpaduan sesebuah negara itu, harus di bawa (bermula) oleh kepimpinan tertinggi,” tambahnya. 

  Sambutan  jubli emas Rukun Negara yang berlangsung di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dianjurkan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Perpaduan Negara. Ia disiarkan secara langsung di Bernama TV (Astro 502, myFreview 121 dan unifi TV 631), RTM, Astro Awani serta platform media sosial.

Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasirudin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin pada 31 Ogos 1970 bagi mencapai perpaduan lebih erat antara rakyat susulan peristiwa 13 Mei 1969.

Ia turut mengandungi lima prinsip yang merupakan bahagian kedua di dalam Rukun Negara yang menjadi falsafah Malaysia iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan.

 

-- BERNAMA

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan