MBM seru anak muda hayati prinsip Rukun Negara

11/07/2020 12:42 AM

KUALA LUMPUR, 10 Julai -- Majlis Belia Malaysia (MBM) menyeru anak muda agar menghayati lima prinsip teras Rukun Negara, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Setiausaha Agung MBM Hasnul Haniff Harun berkata, lima perkara itu menjadi tonggak kepada prinsip kenegaraan dan penyatuan rakyat Malaysia, dan seharusnya disemaikan dalam semangat generasi muda yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan.

“Secara peribadi, amat menyedihkan apabila melihat rata-rata anak muda dari pelbagai latar belakang tidak menghafal Rukun Negara, dan ia menjadi subjek tular di media massa serta arus perdana. Rentetan itu, teras-teras kenegaraan mula dipersenda, termasuk Jalur Gemilang, lagu Negaraku dan Jata Negara.

“Golongan ini walaupun tidak ramai, namun tindakan mereka 'membisingkan keadaan'. Perkara ini jika tidak dibendung, dikhuatiri akan menjadi ikutan kepada lebih ramai golongan muda, dan akan terus meruntuhkan jati diri mereka sebagai anak Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Justeru katanya, MBM mencadangkan agar Pendidikan Rukun Negara dimulakan dengan menggunakan kaedah seperti mana awal penubuhannya, yang mana setiap stesen televisyen dan radio, wajib menayangkan atau dibacakan Rukun Negara dalam masa yang ditetapkan.

“Di sekolah juga Rukun Negara turut dibacakan setiap kali perhimpunan. Kini, dengan adanya platform media sosial yang lebih luas, pendidikan Rukun Negara pastinya dapat dilaksanakan dengan lebih mudah,” katanya yang turut menyambut baik hasrat kerajaan menerapkan Rukun Negara dalam sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar Pendidikan Rukun Negara dijadikan agenda teras kerajaan, bagi memastikan Rukun Negara sentiasa menjadi amalan dalam masyarakat untuk diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

-- BERNAMA

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan