Rukun Negara pemacu kepada perpaduan kaum - Pakar Bahasa

15/07/2020 03:09 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai  -- Rukun Negara dilihat sebagai pemacu dan pemandu kepada pelbagai kaum dan etnik di negara ini untuk mencapai perpaduan yang kukuh melalui lima prinsipnya, kata seorang pakar bahasa.

Menyifatkan perpaduan yang dikecapi kini adalah luar biasa, bekas pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia Dr Lim Swee Tin berpandangan agak sukar penyatuan itu dicapai sekiranya falsafah kebangsaan berkenaan tidak dibentuk pada 1970.

“Falsafah nasional ini merancang untuk menentukan dan menempatkan (rakyat) dalam hala tuju yang sama serta tidak berbeza, hala tuju yang dapat menghimpunkan kita dalam kesatuan.

“Tanpa satu semangat dan falsafah kebangsaan seperti prinsip Rukun Negara, kita barangkali memilih haluan berbeza-beza … ke mana kamu nak pergi, ke mana saya nak tuju dan ini menyulitkan keadaan,” katanya ketika menjadi tetamu program Bernama Radio mengenai topik ‘Rukun Negara Eratkan Perpaduan Bangsa’, bersempena sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara, di sini hari ini. 

Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 bersempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-13 susulan peristiwa 13 Mei 1969 yang melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia.

Menurut Lim yang kini merupakan Ahli Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, pembentukan Rukun Negara adalah langkah tepat dalam mengeratkan perpaduan dan prinsip itu kekal relevan sehingga kini meskipun sudah 50 tahun berlalu.

“Saya fikir ini (Rukun Negara) yang paling tepat pada zaman itu dan sehingga ke hari ini ia masih yang terbaik. Bersyukurlah kita kerana pemimpin kita cepat merancang untuk mencipta serta merangka satu gagasan, falsafah seperti prinsip Rukun Negara yang membantu ke arah kesatuan bangsa.

“Saya tidak nampak kita berada dalam perpecahan … majoriti bangsa kita orang yang nak lihat keamanan, di tanah air kita lihat perpaduan yang menyeluruh sebenarnya, sudah ada persefahaman dan penerimaan … bagi saya penerimaan (antara kaum) ini bukan mudah, satu yang luar biasa,” jelasnya. 

Menurut penerima S.E.A Write Award 2000 (penghargaan tertinggi bidang kesusasteraan di Asia Tenggara oleh kerajaan Diraja Thailand), semangat patriotik yang ditonjolkan dalam mengekalkan kemerdekaan itu berbeza mengikut era dan zaman.

“Zaman lepas mungkin kita membuak-buak (semangat) lawan penjajah, tapi era selepas itu pengisian selepas kemerdekaan iaitu kita sama-sama bekerja dan bertungkus-lumus memajukan negara, keamanan kita jangan dicerobohi anasir-anasir luar,” kata Lim. 

Tambah beliau, pemahaman terhadap sejarah tanah air dan bangsa harus diberi penekanan yang besar bagi setiap generasi dari semasa ke semasa tanpa mengira kaum dan agama.

-- BERNAMA

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan