KUALA LUMPUR, 15 Julai -- Ketika ekonomi dan industri perniagaan terjejas susulan COVID-19, penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara sebagai tonggak dalam memelihara keharmonian menjadi antara peniup semangat usahawan agar terus bangkit daripada ujian getir itu.
Mengimbas kembali saat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik tersebut sejak 18 Mac lepas, usahawan agropelancongan Nordin Mat berkata beliau melihat situasi tersebut sebagai cabaran yang perlu diharungi bersama seluruh rakyat Malaysia.
Selain akur dan menjunjung kedaulatan undang-undang untuk kesejahteraan bersama, Nordin juga berpendapat usahawan perlu memainkan peranan dalam menghidup dan menggerakkan semula ekonomi yang menjadi tulang belakang kesejahteraan negara.
“Antara sektor paling terjejas teruk adalah agropelancongan, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang tidak boleh dikunjungi dan terpaksa tutup jadi saya cuba fikirkan peluang perniagaan lain untuk terus bertahan,” katanya ketika menjadi tetamu program Webinar Bernama, sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara, hari ini.
Nordin berkata beliau juga berusaha menghasilkan video berkenaan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS) Bank Negara untuk dikongsi dengan peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghadapi situasi sama.
“Saya membawa inspirasi daripada Rukun Negara itu untuk menyejahterakan ekonomi dan membantu PKS lain yang menghadapi dilema sama serta mengingatkan bahawa dunia belum berakhir dan setiap permasalahan ada penyelesaian,” katanya yang juga merupakan pengarah syarikat pertanian Goat2GO.
Sementara itu, pengasas syarikat penerbitan Legasi Oakheart Hafiz Latiff berkata penghayatan prinsip Rukun Negara sentiasa menjadi asas yang membentuk jati dirinya agar menjadi usahawan berintegriti.
“Apabila berpegang prinsip Rukun Negara, ia akan mengingatkan kita pada falsafah pertama, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan sekali gus mengamalkan nilai yang diterapkan dalam agama kita.
“Sebagai contoh, jangan lari apabila menghadapi masalah dalam perniagaan sebaliknya hadapilah dengan positif,” katanya.
Hafiz berpendapat prinsip lain seperti Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta Kesopanan dan Kesusilaan juga menjadikan penerbit buku seperti beliau sentiasa menghasilkan kandungan bernilai murni dan tidak menggugat kesejahteraan negara.
-- BERNAMA
TENTANG KAMI
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com
Kategori
• Am
• Ekonomi
• Sukan
• Politik
• Dunia
• Rencana
• Tinta Minda
• Infografik
• Video
• Images
• Siaran Media Eksklusif
Hak Cipta