Prinsip Rukun Negara kelima boleh menjadi pegangan pengamal media

16/07/2020 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai -- Prinsip Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan dilihat mampu menjadi pegangan kepada pengamal media dalam melaksanakan tugas mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya. 

Dalam memerangi berita palsu yang berleluasa di media sosial, beliau berkata tanggungjawab media kini kian berat, bagaimanapun aspek bahasa yang sopan dalam menyampaikan maklumat tepat serta sahih tidak boleh diabaikan.

"Kalau kita tengok Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan, pada saya itu boleh menjadi satu pegangan kepada wartawan di negara ini, bagaimana mereka (wartawan) harus menyebarkan maklumat yang tepat dan bahasa yang digunakan juga sopan dan susila.

"Wartawan juga dilarang menyebarkan berita yang tidak betul, semuanya mesti mempunyai fakta. Tanggungjawab media kini juga semakin mencabar, saya rasa kalau Rukun Negara itu dihayati sepenuhnya ia boleh dijadikan pegangan yang baik," katanya di sini hari ini.  

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Malaysia Petang Ini, sebuah program terbitan Bernama TV dengan tajuk ‘Kebebasan Media, Cara Menjawab Tohmahan dan Berita Tidak Tepat.’ 

Chamil berkata media juga memainkan peranan dalam mendidik orang ramai melalui maklumat yang disebarkan dalam usaha melahirkan masyarakat berilmu.

Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 bersempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-13 susulan peristiwa 13 Mei 1969.

Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara telah bermula pada 9 Julai dan akan berlangsung sehingga 16 Sept depan.  

-- BERNAMA

 

 


 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan