Hargai Perpaduan, Terus Semarak Semangat Cinta Negara

27/07/2020 09:15 AM

Oleh Erda Khursyiah Basir

Artikel ini sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Putrajaya esok (28 Julai 2020) yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Rakyat Malaysia telah melalui siri perubahan, pembangunan dan transformasi sosial yang membawa ke arah kesepaduan dalam masyarakat rencam yang terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan agama. 

Dengan mengangkat nilai perpaduan sebagai tunjang utama, setiap rakyat semakin sedar dan prihatin akan peranan serta tanggungjawab masing-masing dan bagaimana seharusnya melayari kehidupan dalam penuh kepelbagaian ini.

Apabila setiap anggota masyarakat semakin saling memahami, menerima, menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain, insiden tidak diingini terutama melibatkan sentimen perkauman sudah tentunya dapat dielakkan.

 

KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL

Menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-63 pada 31 Ogos depan, rakyat Malaysia perlu terus berganding bahu dalam memastikan kemanan dan nilai perpaduan yang dikecapi hari ini terus dihargai dan dipelihara sebaiknya.

Laporan Indeks Kedamaian Dunia 2020 menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-20 daripada 163 negara yang  mempunyai tahap keamanan yang tinggi di dunia. 

Ini pastinya satu pencapaian membanggakan apabila perbezaan yang dimiliki mampu diangkat sebagai kelebihan.


Prof Dr Mansor Mohd Noor. -- Photo courtesy of Prof Dr Mansor Mohd Noor

Menurut Felo Bersekutu Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Mansor Mohd Noor, melihat kepada fenomena hubungan sosial yang berlaku dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia, ia menunjukkan secara perlahan-lahan ia telah melalui perubahan positif melalui beberapa tahap.

Dalam dekad 1950 hingga 1970-an, konflik hubungan etnik berlaku di negara ini berikutan masalah kemiskinan dan ketidaksamarataaan sehingga kemuncaknya membawa kepada tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. 

“Seterusnya, perubahan sosial rakyat bergerak ke arah ketegangan sosial dalam dekad 1980 hingga 1990-an dan menyaksikan insiden antara kaum yang berlaku dalam peristiwa Kampung Rawa 1998. Memasuki 2000, berlaku insiden kecil peristiwa Kampung Medan pada 2001. 

“Kemudian, insiden Lawas (2012) dan Low Yat (2015). Sejak itu dan sehingga hari ini (2020) rakyat Malaysia boleh disifatkan menuju ke arah kesepaduan sosial apabila insiden yang dikaitkan berteraskan perkauman ini semakin jarang berlaku,” katanya kepada Bernama baru-baru ini sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020, esok (28 Julai 2020), di Putrajaya oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

PEMBANGUNAN HOLISTIK

Mengulas lanjut Mansor berkata, masih terdapat insiden kecil yang jika diperbesar boleh mencetus api perkauman.

Justeru, “kelompongan” perlu diatasi segera dengan inisiatif yang lebih berkesan bagi menjamin kedamaian berterusan dan perpaduan lestari masyarakat majmuk di negara ini. 

Beliau menjelaskan, selain peranan rakyat, transformasi positif tahap hubungan etnik juga amat berkait rapat dengan rancangan pembangunan dan tadbir urus yang bersifat holistik oleh kerajaan terutama bagi memperbaiki ketidakseimbangan ekonomi, kemiskinan, kemunduran dan isu etnik terpinggir di pelbagai peringkat.

“Kepesatan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan bergerak seiring dengan ketidakseimbangan sosial dalam masyarakat. Perkara ini perlu dipantau dan diberi fokus khususnya bagi golongan miskin dan kelompok B40 yang terabai. 

“Perancangan dan pelaksanaan pembangunan perlu dibuat berdasarkan input penyelidikan bagi mengeluarkan kumpulan ini dari putaran kemiskinan bergenerasi (miskin turun-temurun). Pembangunan sosial mereka akan terus terjejas sekiranya kemajuan tidak djalankan berpaksikan keadilan dan secara terangkum,” katanya sambil menambah, isu perbezaan budaya, agama dan bahasa turut perlu sentiasa diberi perhatian. 

 

HORMATI PERLEMBAGAAN, RUKUN NEGARA


Replicas of the limited edition stamps released by Pos Malaysia in conjunction with the 50th anniversary of Rukun Negara. The stamps will be available at post offices from Aug 18. --fotoBERNAMA (2020) ALL RIGHTS RESERVED

Meskipun rakyat dikatakan semakin berlapang dada dalam menerima “buruk baik” antara satu sama lain, namun mereka juga pada masa sama perlu akur bahawa perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara perlu dihormati dan dijadikan panduan kehidupan.

Kefahaman mendalam berhubung kedua-dua pegangan itu, dapat mengelak suasana tidak harmoni dalam masyarakat termasuk mempersoalkan perkara-perkara sensitif yang boleh menjejas hubungan etnik di negara ini. 

“Pada masa ini, hubungan etnik dan kesepaduan nasional adalah baik. Perkara ini tidak datang ‘bergolek’ tetapi menagih peranan semua pihak agar setiap kaum dapat merasai nilai kebersamaan,” jelasnya. 

Beliau turut berpendapat mata pelajaran Sejarah bukan sekadar berkonsep menghafal fakta semata-mata sebaliknya perlu kepada menganalisis perubahan hubungan sosial yang berlaku dalam masyarakat sejak dahulu sehingga hari ini.

“Subjek Sejarah antaranya menceritakan perjuangan dan sumbangan masyarakat dan ini secara langsung akan membina semangat patriotisme khususnya dalam kalangan generasi muda. 

“Mata pelajaran Ilmu Sosial wajar dipertimbang untuk diwujudkan di sekolah kerana ia dapat memberi kefahaman berhubung masyarakat pelbagai etnik dan agama sekali gus mengelak konflik dalam masyarakat berbilang bangsa,” katanya.

 

‘BERSATU’ LAWAN COVID-19


Dr Hairol Anuar Mak Din. -- Photo courtesy of Dr Hairol Anuar Mak Din

Sementara itu, menyifatkan sambutan bulan kebangsaan pada kali ini berbeza dengan sambutan sebelum ini, Pensyarah Kanan Jabatan Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Dr Hairol Anuar Mak Din berkata rakyat hari ini perlu bersatu dalam menghadapi pelbagai bentuk cabaran.  

Jika dahulu perjuangan rakyat adalah menentang penjajah bagi memerdekakan tanah air namun hari ini situasi semasa negara memerlukan rakyat bersatu dalam melawan dan memutuskan rantaian pandemik COVID-19 yang kembali menular dan menunjukkan trend peningkatan baru-baru ini.  

“Dalam memerangi krisis pandemik COVID-19, rakyat perlu akur untuk mematuhi undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan. Pematuhan ini jika diamati secara tidak langsung turut memberi manifestasi terhadap semangat patriotisme rakyat Malaysia,” katanya. 

Beliau menambah, semarak sambutan bulan kebangsaan tidak terhad kepada mengingati peristiwa sejarah pengorbanan terdahulu namun rakyat boleh mempertahankan kedaulatan negara dengan sama-sama memerangi wabak penyakit, ideologi dan budaya asing yang bertentangan dengan norma masyarakat Malaysia.

 

SATU MATLAMAT

Penzahiran rasa cinta terhadap negara oleh seseorang individu juga mungkin berbeza dan perkara itu perlu dilihat dalam konteks yang lebih meluas. 

Ada yang memilih menyampaikannya melalui ucapan secara langsung dan ada juga yang lebih senang menterjemahkannya dalam bentuk perbuatan termasuklah sokongan, sumbangan dan pencapaian dalam bidang masing-masing. 

“Kita tumpang bangga dan terharu apabila ada rakyat kita mencatatkan pencapaian terbaik di dalam mahupun luar negara. Masing-masing ada rasa tanggungjawab untuk menjulang dan mengharumkan nama Malaysia walaupun dengan cara berbeza. 


Shah Alam City Council staff removing the murals of national leaders that were vandalised recently. --fotoBERNAMA (2020) ALL RIGHTS RESERVED

“Sebab itu apabila berlaku insiden terpencil yang ‘mencalar’ nama negara kita sama-sama rasa berdukacita. Ini termasuklah perbuatan menghina Jata Negara dan vandalisme yang menconteng mural pemimpin negara baru-baru ini.

“Di mana silapnya? Saya rasa ini antara perkara yang setiap pihak perlu lihat dan kaji semula serta mengambil tindakan sewajarnya agar insiden sebegini tidak menjadi ‘barah’ dalam masyarakat,” katanya sambil menambah kemakmuran dan pembangunan negara hanya boleh berlaku melalui sokongan dan dokongan semua pihak.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 


 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan