Perpaduan, semangat patriotisme rakyat kekal utuh walaupun berdepan COVID-19

28/07/2020 11:06 AM

KUALA LUMPUR, 28 Julai  -- Perpaduan serta semangat patriotisme dalam kalangan rakyat negara ini tidak pernah luntur dan masih kekal utuh walaupun berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19 yang memerlukan kehidupan dijalani dengan kebiasaan baharu.

Semangat kebersamaan diterjemahkan menerusi penyertaan pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 yang turut diadakan di seluruh negara hari ini, itu jelas mencerminkan keharmonian dan kemakmuran negara.

Acara berkenaan dilakukan serentak dengan pelancaran peringkat kebangsaan yang dirasmikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Di Kedah, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri dalam suasana sederhana dengan pematuhan terhadap amalan kebiasan baharu pada perhimpunan bersama penjawat awam Kedah yang turut dihadiri barisan Exco.

Muhammad Sanusi berkata tema ‘Malaysia Prihatin’ bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, jelas menunjukkan komitmen bersama dan menyeru rakyat negeri itu mengibarkan Jalur Gemilang di premis dan juga kenderaan sebagai tanda kebanggaan terhadap tanah air tercinta. 

Di Sarawak, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta menteri-menteri kabinet Sarawak, selain ketua dan wakil agensi kerajaan menonton amanat daripada Muhyiddin di Putrajaya itu menerusi skrin layar mega.

Abang Johari kemudian menyempurnakan majlis pelancaran peringkat Sarawak yang diadakan di Bangunan Baharu Dewan Undangan Negeri di Kuching, dan melepaskan konvoi Jalur Gemilang selain meninjau mini pameran kenegaraan.

Sementara di Perak, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyeru rakyat negeri itu menjadikan Bulan Kebangsaan sebagai satu tradisi bangsa Malaysia dalam menzahirkan kesyukuran ke atas kenikmatan yang dimiliki.

Pada majlis peringkat negeri yang diadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh itu Ahmad Faizal turut menyempurnakan pelepasan konvoi 25 kenderaan pelbagai jenis yang akan menjelajah setiap daerah di negeri tersebut dalam Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2020.

Sedikit kelainan di Melaka, sebuah video ‘Merdeka Community Bonding’ ditayangkan mengenai kediaman Muhammad Muzzaman Othman di Felda Tun Ghafar Machap, Kampung Bukit Bulat, Alor Gajah yang dihiasi dengan Jalur Gemilang dan bahan terpakai secara kreatif bersempena sambutan Bulan Kebangsaan peringkat negeri kali ini. 

Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali dalam ucapannya di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, pula menyarankan rakyat negeri itu agar mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan ini dengan menyahut cabaran ‘Satu Rumah Satu Bendera’ bagi menunjukkan semangat patriotik.

Di Kelantan, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob pula berkata nikmat keamanan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk yang dikecapi pada hari ini tidak berlaku secara sendiri melainkan berkat usaha bersama pemimpin, ulama dan perajurit.

Sementara di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata rakyat negeri itu yang teguh mengamalkan adat perpatih mempunyai semangat patriotisme tinggi, dan melambangkan semangat sebenar Malaysia Prihatin.

Di Pulau Pinang, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini mempunyai intipati dan matlamat tersendiri yang menuntut semua pihak tanpa ada yang terkecuali untuk berganding bahu melawan pandemik COVID-19.

Ketika berucap di Kompleks Plaza Tol, Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, beliau berkata keprihatinan semua pihak untuk menjaga antara satu sama lain memberi pengertian yang cukup besar sekali gus menyuntik semangat patriotisme seluruh rakyat negeri itu.

Di Selangor, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari ketika berucap di Auditorium Dewan Jubli Perak, Shah Alam, menasihati masyarakat supaya memahami erti kandungan yang digariskan dalam Rukun Negara dan menghayati sejarah disebalik kewujudannya.

Beliau menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini lebih bermakna kerana ia seiring dengan ulang tahun ke-50 Rukun Negara .

Di Perlis, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man meminta orang ramai menghormati Jalur Gemilang kerana ia adalah kebanggaan negara.

Sementara di Johor, Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad menyeru rakyat negeri itu agar mengibarkan Jalur Gemilang dan menghiasinya di kediaman masing-masing sebagai tanda patriotisme, pada majlis diadakan di Bangunan Dato Jaafar, Iskandar Puteri.

Di Pahang, penghargaan kepada petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik COVID-19 menjadi sebahagian daripada pengisian majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 peringat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Sambutan majlis pelancaran tersebut turut diadakan di Terengganu dan Sabah.

--BERNAMA

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan