Lima prinsip Rukun Negara kunci keharmonian, perpaduan kaum

05/08/2020 02:21 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos -- Lima prinsip Rukun Negara yang dibentuk sejak lima dekad lalu  menjadi kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum bagi memastikan kejayaan dan kestabilan negara sehingga kini, kata Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Azemi Abdul Aziz.

Beliau berkata lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang; serta Kesopanan dan Kesusilaan penting untuk dihayati setiap lapisan masyarakat bagi memperkukuh perpaduan antara rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Walaupun kita mempunyai Perlembagaan Malaysia sebagai perlembagaan yang dipegang dan dirujuk, kita lihat prinsip Rukun Negara ini merupakan inti pati kepada perlembagaan itu sendiri. Ia adalah prinsip yang perlu dipegang oleh semua warganegara.

“Kita perlukan satu prinsip yang dapat menggabungkan tenaga semua masyarakat yang ada dalam negara ini untuk menjadi sebuah negara bersatu padu, aman seterusnya maju ke hadapan,” katanya dalam program Rukun Negara Hour dengan topik ‘Warisan Bangsa dan Negara’ terbitan Bernama Radio, hari ini.

Justeru, beliau berkata lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara wajar diperkasakan semula supaya ia dapat dihayati dan diamalkan oleh masyarakat terutama generasi muda.

“Semua masyarakat perlu terus menyemai semangat, menghayati dan memperkukuh lima prinsip Rukun Negara ini kerana jika dilihat pada sejarahnya, ia terbukti malah mampu membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang terbaik di dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Azemi berkata Arkib Negara Malaysia mempunyai hampir 100 koleksi bahan terkumpul berkaitan Rukun Negara dalam bentuk fail, terbitan, gambar dan lain-lain yang boleh dijadikan sebagai rujukan.

“Apa yang menarik, kita turut menyimpan Buku Rukun Negara yang dicetak dalam format Braille selain piring hitam lagu Rukun Negara yang dinyanyikan Sulaiman Masri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan