Kerajaan kaji kembalikan semula mata pelajaran berteras Rukun Negara

06/08/2020 10:27 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos  -- Kerajaan bercadang mengembalikan semula mata pelajaran yang berkisar kepada amalan Rukun Negara dalam sistem pendidikan negara seperti yang pernah ada suatu ketika dahulu.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata perkara itu akan diperhalusi melalui penubuhan jawatankuasa teknikal kementeriannya bersama tiga kementerian lain iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Pendidikan. 

"...untuk saya memberi gambarannya, ia seperti mata pelajaran Tata Rakyat yang mana kita diajar tentang apakah itu masyarakat majmuk, perpaduan, sikap bertoleransi, hormat-menghormati, adat resam dan sebagainya," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara serta Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Kreatif Perpaduan di sini hari ini. 

Pada 9 Julai lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar pendidikan Rukun Negara dijadikan agenda teras kerajaan.

Mengulas lanjut, Halimah berkata adalah penting untuk membangunkan pendidikan Rukun Negara agar lima prinsipnya dapat dihayati oleh masyarakat terutama generasi muda.

Justeru bagi tujuan penghayatan, Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara menjadi platform utama kementerian untuk melaksanakan agenda ini.

Sehingga kini, terdapat 6,621 Kelab Rukun Negara ditubuhkan merangkumi 5,864 sekolah rendah dan menengah kebangsaan manakala 757 lagi adalah dari sekolah rendah dan menengah jenis kebangsaan Cina serta Tamil. 

Katanya selain itu, sejumlah 172 Sekretariat Rukun Negara terdapat di institut pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara yang diharap dapat menyemarakkan lagi kefahaman tentang Rukun Negara menerusi program yang diadakan.

-- BERNAMA

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan