Rukun Negara: Pendekatan baharu dan segar diperlukan tarik generasi muda 

08/08/2020 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos -- Satu pendekatan baharu dan segar diperlukan bagi menarik generasi muda menghayati maksud lima prinsip dalam Rukun Negara, kata seorang ahli akademik.

Ketika menyuarakan pandangan itu, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim berkata untuk tujuan tersebut, pihak berkenaan perlu mendengar pandangan orang muda, khususnya kelompok kreatif.

"Untuk kembalikan penghayatan prinsip Rukun Negara kepada generasi muda kena bermula dari sekolah. Pendekatan baharu perlu diambil untuk memastikan ia kekal relevan. Olahannya perlu diperbaharui. Dalam konteks negara yang majmuk, prinsip Rukun Negara perlu disampaikan lebih kreatif dan generasi akan datang melihat ia sebagai sesuatu yang perlu dipelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV pada Jumaat dengan tajuk “UiTM Jiwai Rukun Negara”.

Mohd Azraai berkata UiTM turut memainkan peranan dalam usaha menerapkan Rukun Negara, bukan sahaja kepada pelajar UiTM, tetapi juga kepada generasi muda yang tidak berpeluang meneruskan pengajian di universiti awam terbesar di negara ini.

Beliau juga berkata di peringkat universiti, mahasiswa boleh melakukan program bersama masyarakat dan secara tidak langsung prinsip 'kesopanan dan kesusilaan' dapat ditonjolkan.

"Peranan universiti awam sangat luas untuk berkongsi penghayatan Rukun Negara dengan masyarakat dan mereka yang tidak berpeluang belajar di universiti. Seperti di UiTM, kami ada khidmat komuniti yang berkredit. Aktiviti ini akan sampai kepada pelbagai kelompok,

"Penglibatan mereka ini akan ada sifat prihatin terhadap orang lain, menghormati orang tua dan saling membantu masyarakat. Kita guna pelbagai pendekatan untuk menghayati Rukun Negara bukan sahaja menerusi teori di dalam kelas," katanya.

 -- BERNAMA

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan