Hormati dan hargai Jalur Gemilang - Halimah

16/08/2020 09:12 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos -- Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique meminta rakyat Malaysia menghormati dan menghargai nilai Jalur Gemilang sebagai bendera kebangsaan negara ini.

Beliau berkata mencintai negara bukan hanya bermaksud memupuk semangat perpaduan antara satu sama lain atau menghormati kepelbagaian bangsa dan agama, tetapi juga menjaga Jalur Gemilang.

Halimah berkata demikian sebagai respons kepada gambar tular mengenai Jalur Gemilang yang digantung terbalik baru-baru ini.

“... ada pihak yang mengambil sikap lebih kurang, yang tidak kisah tentang keadaan bendera Jalur Gemilang, terbalik atau tidak, jalur terkurang atau terlebih, bendera baik atau koyak, asalkan bendera naik pada tiang.

“Kita sepatutnya menjadi warganegara Malaysia yang bertanggungjawab, yang tahu menghargai nilai bukan sehelai bendera (sahaja), tetapi menghargai nilai bendera Jalur Gemilang (sebagai) bendera negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama dan RTM selepas penggambaran video muzik untuk kempen ‘Saya Anak Malaysia 2020’ di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Kempen berkenaan merupakan inisiatif kolaboratif yang dijalankan oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia yang akan datang.

Halimah, yang turut terlibat dalam penggambaran itu, berkata video muzik tersebut akan menggambarkan bagaimana rakyat Malaysia meraikan kepelbagaian mereka sebagai 'Anak Malaysia', dengan rasa bangga terhadap tanah air mereka.

Pengarah kempen Dr Idzwan Yacob berkata video muzik itu akan menampilkan lagu ‘Saya Anak Malaysia 2020’, yang digubah semula dari versi asal - ‘Saya Anak Malaysia’, oleh DR Sam.

“Kita gubah semula lagu sebab kita tahu lagu ini kadang-kadang perlu diberi nafas baru untuk generasi baharu lebih menghargai dan menghayati.

“Jadi, orang lama dapat dengar lagu versi baru ini yang lebih segar, manakala generasi baharu pula dapat menghayati lagu ini dengan gaya dan corak yang lebih semasa,” katanya.

Penggambaran kempen itu mengambil masa dua hari untuk diselesaikan dengan penglibatan 250 orang, termasuk pelajar Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif UUM serta selebriti tempatan.

Video muzik itu dijangka dilancarkan di akaun Youtube Kementerian Perpaduan Negara sebelum 31 Ogos.

-- BERNAMA

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan