Setem Khas Jubli Emas Rukun Negara dijual mulai hari ini

18/08/2020 03:40 PM

KUALA LUMPUR,18 Ogos -- Siri setem khas dan sampul surat hari pertama 50 Tahun Rukun Negara keluaran Pos Malaysia mula dijual hari ini melalui kedai dalam talian www.eziemall.com dan pejabat pos di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata siri setem itu memperkenalkan lima rekaan menarik dan 250,000 keping dikeluarkan bagi setiap rekaan dengan nilai muka 60 sen setiap satu.

Beliau berkata setiap rekaan menampilkan satu daripada lima prinsip Rukun Negara, logo rasmi Rukun Negara ke-50 dan Bunga Raya.

“Kami menumpukan masa dan usaha dalam proses rekaan koleksi khas 50 Tahun Rukun Negara ini untuk mencerminkan secara tepat semangat dan nilai Rukun Negara yang berfungsi sebagai aspirasi nasional bagi rakyat Malaysia dalam usaha membina sebuah masyarakat bersatu padu dan harmoni demi memastikan kejayaan dan kestabilan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lembaran mini peringatan khas juga diterbitkan dan harus dimiliki oleh para pengumpul dan ia dihasilkan dengan teknik potongan terap dan kemasan emas bagi bagi menandakan sambutan Jubli Emas Rukun Negara.

Sejumlah 25,000 keping dihasilkan dan dijual pada harga RM5 setiap satu.

Sampul surat hari pertama bersama setem dan sampul surat hari pertama bersama lembaran mini juga boleh didapati masing-masing pada harga RM3.50 dan RM5.50.

Bagi melengkapkan koleksi ini, sebanyak 2,000 folder keluaran khas boleh dibeli secara berasingan pada harga RM6 setiap satu.

-- BERNAMA

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan