GEORGE TOWN, 18 Ogos -- Sempena sambutan bulan kebangsaan tahun ini, pelajar Kolej Komuniti Bayan Baru (KKBU) mengambil inisiatif melukis mural petugas barisan hadapan sebagai tanda penghargaan kepada pengorbanan mereka dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.
Naib Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) KKBU Siti Nor Nabila Ishak berkata dia bersama sembilan rakannya mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan mural pada dinding bangunan kolej berkenaan.
“Dalam pandemik COVID-19 ini, kami anggap (jasa) setiap petugas barisan hadapan amat penting untuk dikenang kerana mereka bertungkus-lumus untuk (menjaga) kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Program Merdeka@Komuniti anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Timur Laut hari ini.
Selain menggunakan cat, mural tersebut dihasilkan dengan menggunakan tayar terpakai, batang pokok pinang di samping pokok bunga raya pelbagai warna ditanam berhampiran mural berkenaan.
Pelajar semester akhir jurusan Terapi, Kecantikan dan Spa itu berkata dia dan rakan-rakannya bersedia jika diberi peluang melukis mural di mana-mana ruang yang disediakan sebagai satu cara untuk mereka menyerlahkan kreativiti masing-masing.
Sementara itu, Ketua Unit Pengajian Am KKBU Hasnah Hassan berkata pihak kolej menyambut baik idea penghasilan mural yang mendapat kerjasama JAPEN demi membentuk dan menggalakkan semangat kerja berpasukan dalam kalangan penuntut.
Katanya, program hari ini yang turut disertai Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pulau Pinang dapat memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat sama menyumbang sebagai tanda menghargai jasa wira negara.
-- BERNAMA
TENTANG KAMI
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com
Kategori
• Am
• Ekonomi
• Sukan
• Politik
• Dunia
• Rencana
• Tinta Minda
• Infografik
• Video
• Images
• Siaran Media Eksklusif
Hak Cipta