KUALA LUMPUR, 19 Ogos -- Bagi menyemarakkan lagi kempen Rukun Negara dan sambutan Hari Kebangsaan, Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini melancarkan Kempen Hayati Rukun Negara dan Semarak Merdeka 2020 peringkat universiti itu.
Antara program yang dijalankan UPM menerusi kempen berkenaan adalah Wacana Intelektual, Pertandingan Pidato Rukun Negara, Pertandingan Kongsi Cerita Rukun Negara, Pertandingan Menulis Esei dan Kuiz Rukun Negara dan Kemerdekaan.
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata UPM di bawah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) juga diberi kepercayaan untuk bekerjasama dengan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi penganjuran Bicara Kenegaraan sebanyak dua siri pada 4 dan 11 Sept, bertempat di Dewan Za’ba, KPT.
Mohd Roslan berkata UPM sebagai institusi keilmuan komited untuk terus menjayakan pelbagai program dalam usaha memperkukuh penghayatan Rukun Negara agar sebati dalam kalangan warga universiti.
“Seiring dengan tema Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini, iaitu Malaysia Prihatin, UPM beriltizam menjadi barisan hadapan yang cakna dengan cabaran mendatang yang semakin getir.
“Semangat Malaysia Prihatin ini penting kerana ia menitikberatkan perpaduan rakyat lebih-lebih lagi ketika negara kita berhadapan dengan krisis. Kerjasama masyarakat khususnya antara pelajar dan warga universiti penting dalam menghadapi wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohd Roslan yang baru diumumkan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad sebagai Naib Canselor UPM yang kesembilan bermula 1 Sept mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada menteri atas kepercayaan yang diberikan.
-- BERNAMA
TENTANG KAMI
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com
Kategori
• Am
• Ekonomi
• Sukan
• Politik
• Dunia
• Rencana
• Tinta Minda
• Infografik
• Video
• Images
• Siaran Media Eksklusif
Hak Cipta