Unsur kerohanian penting corak identiti bangsa dan negara

24/08/2020 02:16 PM

Oleh Thivyamalini Ramalu

KUALA LUMPUR, 24 Ogos -- Aspek kerohanian dan pendidikan agama merupakan elemen penting bagi pembentukan sahsiah diri individu yang berperanan menentukan identiti bangsa dan negara,

Lebih-lebih lagi prinsip pertama Rukun Negara, Kepercayaan Kepada Tuhan menjelaskan kepentingan agama dalam kehidupan seseorang yang mencerminkan keperibadian akhlak yang baik, demikian menurut beberapa persatuan agama dan belia.

Ahli Majlis Persatuan Belia Buddhist Malaysia (YBAM) Eow Shiang Yen berkata didikan awal memainkan peranan penting untuk membentuk personaliti, cara pemikiran dan sikap kanak-kanak terhadap pelbagai cabaran khususnya dalam era digital kini.

“Justeru, didikan awal berorientasikan prinsip agama dan pemikiran kritis perlu diberikan kepada kanak-kanak melalui teladan dan contoh ibu bapa. Kanak-kanak bukan sahaja memerlukan peningkatan dari segi personaliti dan keazaman diri sendiri tetapi juga satu suasana kekeluargaan yang kondusif dan mengamalkan nilai-nilai keagamaan dan moral seperti penghargaan, kepuasan dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.

Menurut Eow, dalam konteks agama Buddha, perasaan dan tindakan yang bersifat cinta kasih atau mettā terhadap setiap makhluk amat dititikberatkan dan setiap pengembangan mettā sepatutnya berlaku tanpa syarat, penuh dengan ketulusan dan tanpa mengharapkan balasan daripada penerimanya.

“Sekiranya mettā diamalkan dalam kehidupan seharian, kedengkian, permusuhan dan diskriminasi dapat dielakkan dan setiap makhluk dilihat sebagai individu yang sama rata walaupun mempunyai perbezaan dari segi kaum, agama, budaya, dan latar belakang,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia India Malaysia M. Sivabalan berkata perpaduan kaum merupakan tonggak kejayaan dan kemajuan Malaysia, justeru generasi muda perlu memperkasa dan menghayati nilai-nilai sejarah agar pengorbanan tokoh terdahulu tidak ditelan zaman.

“Ia berbalik kepada institusi kekeluargaan dan orang dewasa perlu menjadi contoh terbaik dalam penerapan aspek kerohanian kepada golongan muda. Setiap fahaman agama mendidik kita untuk menghormati individu lain dan mengutamakan kesatuan lebih-lebih lagi antara masyarakat majmuk dalam negara.

“Melalui nilai kerohanian juga terbitnya tanggungjawab dan taat setia terhadap negara, sekali gus membantu mengekalkan kemerdekaan yang telah dikecapi selama 63 tahun ini,” katanya.

Sivabalan juga menyeru agar masyarakat secara amnya membantu ‘anak-anak merdeka’ ini daripada pelbagai sudut agar mereka tidak hanyut dalam arus maya dan alpa akan erti kemerdekaan sebenar.

Paderi Gereja Methodist Tamil Sentul dan Gereja Methodist Gateway, Kelana Jaya, Rev Justin Clarence pula berkata generasi kini semakin selesa dan tidak tahu erti susah menyebabkan mereka leka, namun situasi ini boleh berubah sekiranya institusi keluarga memainkan peranan sewajarnya.

“Pendidikan keagamaan tidak boleh dipandang enteng bahkan amat perlu bagi menghadapi era ini. Paling penting adalah nilai kasih sayang, nilai utama yang berupaya melahirkan aspek toleransi, hormat-menghormati, kesederhanaan dan nilai berterima kasih.

“Jika kita ada nilai ‘kasih sayang’, kita akan dapat menerima perbezaan dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini adalah perkara asas. Masalahnya adalah kita memberikan reaksi terhadap masalah tertentu menerusi emosi, dan bukan menerusi pemikiran positif,” katanya.

Jelas beliau, anak muda juga perlu berterima kasih kepada pejuang kemerdekaan kerana tanpa mereka, segala kesenangan mungkin tidak dapat dirasai kini.

“Negara kita mungkin menghadapi pelbagai masalah namun perlu diingat kita masih kekal harmoni, tiada perang saudara dan perbalahan besar-besaran seperti di negara luar.  Kita mungkin berbeza antara satu sama lain tetapi itu bukan bermakna “saya perlu benci anda”. Saling memberi dan menerima adalah kunci untuk kekal bersatu seperti yang dinikmati kita semua sekarang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan