Akur, patuh pada Rukun Negara - MB Pahang

24/08/2020 06:38 PM

KUANTAN, 24 Ogos -- Rakyat di Pahang diingatkan untuk akur dan patuh kepada Rukun Negara yang seharusnya menjadi tonggak pegangan setiap rakyat Malaysia, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata semangat itu perlu lebih diterjemahkan kali ini memandangkan Rukun Negara 'menyambut' ulang tahun ke-50 kewujudannya pada tahun ini. 

"Selain itu, saya juga menyarankan semua terutamanya pemilik bangunan dan premis perniagaan untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda patriotisme yang tinggi kepada negara. 

"Sesungguhnya, matlamat utama sambutan Hari Kebangsaan adalah untuk memastikan semangat patriotisme dan cintakan negara terus mekar dan menjadi amalan seluruh rakyat Malaysia," katanya semasa berucap menangguhkan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini. 

Wan Rosdy juga menyifatkan tema 'Malaysia Prihatin' untuk sambutan Hari Kebangsaan tahun ini  mempamerkan semangat rakyat yang prihatin memerangi pandemik wabak COVID-19 selain keprihatinan kerajaan Persekutuan dan negeri terhadap mereka yang terkesan dengan penularan wabak itu. 

Pada ucapan itu, Wan Rosdy juga menzahirkan penghargaan kepada hampir 8,000 petugas barisan hadapan di Pahang yang bertungkus lumus setiap masa membendung penularan wabak COVID-19 sejak kes pertama dikesan di Bentong pada 12 Mac lepas, melibatkan seorang peserta perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Beliau berkata seramai 32,237 orang telah menjalani saringan wabak itu dan daripada jumlah itu, seramai 370 orang atau hanya 1.15 peratus telah disahkan positif dengan 363 orang atau 98.1 peratus daripadanya telah sembuh. 

"Kes positif COVID-19 yang terakhir direkodkan di Pahang ialah pada 26 Julai lalu iaitu kes warganegara Malaysia yang disaring sebelum pembedahan di hospital, dan pesakit ini juga telah sembuh," katanya. 

Persidangan bersambung pada tarikh yang akan ditentukan kelak. 

-- BERNAMA

 

 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan