Jom hayati prinsip Rukun Negara di Perpustakaan Negara Malaysia

25/08/2020 02:53 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos -- Mereka yang mengunjungi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bermula hari ini, boleh mengambil peluang untuk menghayati prinsip Rukun Negara dengan bahan-bahan promosi mengenai falsafah itu yang disediakan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Bersempena Program Jerayawara Sambutan 50 Tahun Rukun Negara anjuran Bernama itu yang masuk hari kedua hari ini, sambutan di PNM yang terletak di Jalan Tun Razak di sini berlangsung cukup meriah, namun tidak mengetepikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung wabak COVID-19.

Timbalan Pengarah Kanan PNM, Ali Rashid berkata selain pengunjung perpustakaan itu, pihaknya juga akan membantu Bernama dengan memperluaskan usaha promosi ke 507 perpustakaan desa di bawah kendaliannya di seluruh negara bagi memastikan tiada yang tertinggal dalam usaha penghayatan Rukun Negara.

"Ini waktu yang sesuai untuk menyemarakkan semula penghayatan Rukun Negara terutamanya kepada generasi muda namun tidak ketinggalan juga semua peringkat pengunjung Perpustakaan Negara Malaysia dari kanak-kanak hinggalah warga emas kerana penghayatan nilai negara adalah penting untuk semua masyarakat.

Pada masa sama, penghayatan prinsip Rukun Negara juga penting dari bandar hinggalah ke luar bandar. Program seperti ini sangat tepat untuk dijadikan budaya dan menaikkan semangat cintakan tanah air," katanya selepas menerima bahan promosi daripada Ketua Projek Sambutan 50 Tahun Rukun Negara Roslan Ariffin.

Roslan yang juga Ketua Penyiaran TV dan Radio Bernama, dalam ucapannya berkata siri jerayawara yang akan berakhir pada 15 Sept itu amat penting bagi memupuk semula dan mengembalikan semangat penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat terutamanya generasi muda.

Beliau berkata PNM adalah antara 26 lokasi terpilih bagi jelajah tersebut termasuk 16 sekolah di seluruh negara, berikutan perpustakaan berupaya memainkan peranan yang cukup besar untuk mempromosi dan menyemarakkan nilai-nilai murni yang ada dalam prinsip Rukun Negara.

"Semalam kita pergi ke Perpustakaan Kuala Lumpur dan Perpustakaan Universiti Malaya, dan hujung minggu ini kami akan ke utara...diharapkan ia dapat menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan memantapkan lagi penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata jerayawara itu juga memberi peluang kepada Bernama untuk mempromosi penganjuran pelbagai aktiviti serta menggalakkan penyertaan dalam program berkaitan Rukun Negara anjuran agensi berita itu dan jabatan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Perpaduan Negara.

Antara aktiviti anjuran Bernama bersempena sambutan itu adalah Cabaran Instagram, Rukun Negara Hour pada 16 Sept, Webinar mingguan pada setiap Rabu, pencarian harat karun secara elektronik pada 30 Ogos, siri bual bicara, dokumentari, perlumbaan perpaduan maya Rukun Negara melibatkan jarak 50 kilometer dan lain-lain, katanya.

-- BERNAMA

 

 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan