ARAU, 28 Ogos -- Program dan aktiviti Jelajah Sambutan 50 Tahun Rukun Negara yang dianjurkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dilihat mampu menarik minat masyarakat khususnya generasi muda lebih menghayati falsafah Rukun Negara.
Ketua Pustakawan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Mazmin Mat Akhir berkata program berkenaan dapat membantu pihak UniMAP mengingatkan orang ramai tentang falsafah di sebalik lima prinsip Rukun Negara.
“Saya yakin ada yang sudah lupa sejarah seperti bilakah Rukun Negara diperkenalkan, dengan ‘Roadshow’ (jerayawara) oleh Bernama ini akan mengingatkan orang ramai tetang kepentingan Rukun Negara yang menjadi resipi keharmonian dan perpaduan negara dapat dikekalkan sehingga hari ini.
“Program yang dianjurkan oleh Bernama seperti ‘Insta Challenge’, Rukun Negara Hour, ‘e-Treasure Hunt’ adalah kaedah yang baik untuk terapkan semangat Rukun Negara dan Hari Kebangsaan khususnya kepada generasi muda,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis Jerayawara Sambutan Ulang Tahun Rukun Negara Ke-50 di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UniMAP hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menerima bahan-bahan promosi daripada Ketua Biro Bernama Perlis Ahmad Muliady Ab.Majid.
Sementara itu, Pengurus Maklumat, Pusat Maklumat dan Perpustakaan Bernama Hasnita Ibrahim berkata antara objektif Jelajah Sambutan 50 Tahun Rukun Negara adalah bagi menyemai dan menyemarakkan semangat Rukun Negara sempena ulang tahunnya ke-50.
“Perlis adalah lokasi ketujuh selepas Pulau Pinang dan jelajah ini akan diteruskan ke beberapa negeri lain seperti Selangor, Pahang, Melaka dan Johor sehingga 15 Sept ini,” katanya.
-- BERNAMA
TENTANG KAMI
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com
Kategori
• Am
• Ekonomi
• Sukan
• Politik
• Dunia
• Rencana
• Tinta Minda
• Infografik
• Video
• Images
• Siaran Media Eksklusif
Hak Cipta