Tuanku Muhriz berangkat ke majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2020 peringkat N. Sembilan

31/08/2020 06:17 PM

SEREMBAN, 31 Ogos  -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan berangkat ke majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2020 Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Padang Majlis Bandaraya Seremban di sini, pagi ini.

Turut berangkat ke majlis berkenaan, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud dan kedua-dua putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-'Abidin.

Keberangkatan tiba baginda pada pukul 8.40 pagi disambut Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Razali Ab Malik.

Turut hadir, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran Negeri Sembilan serta upacara menaikkan Jalur Gemilang dengan iringan lagu Negaraku dan diikuti bacaan doa.

Majlis kemudiannya disusuli bacaan ikrar Rukun Negara yang dipimpin Aminuddin bersama 120 pembaca ikrar yang terdiri daripada barisan exco kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan dan wakil petugas barisan hadapan.

Majlis yang berlangsung secara tertutup dengan jemputan adalah terhad itu dihadiri kira-kira 250 orang terdiri daripada barisan exco kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan, wakil petugas barisan hadapan antaranya polis, tentera, bomba, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat,
Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Pos Malaysia.

Tiada perarakan diadakan bagi Sambutan Hari Kebangsaan seperti tahun sebelumnya dan kesemua tetamu diwajibkan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani penularan COVID-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

Sementara itu, Aminuddin ketika ditemui pemberita berharap agar semua rakyat mengambil semangat Hari Kebangsaan ini dalam memerangi pandemik COVID-19 dengan mematuhi SOP ditetapkan.

"Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ini, marilah kita bersama-sama kuat semangat dalam menghadapi COVID-19 ini. Disamping kesejahteraan negara dan kemakmuran dinikmati hari ini, kita berdoa agar negeri ini lebih awal bebas daripada COVID-19,” katanya.

Aminuddin dalam hantaran terbaru di laman Facebook rasmi beliau malam tadi berkata tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini iaitu Malaysia Prihatin menghargai dan mengangkat peranan semua pihak tanpa mengira kaum serta fahaman politik terutama ketika berdepan pandemik COVID-19. 

Beliau berkata keprihatinan sebenar yang ditunjukkan rakyat Malaysia adalah dengan memastikan bahawa keamanan, kestabilan dan kemakmuran dapat dipertahan di bumi tercinta ini.

Tambahnya adalah diharapkan agar sikap keprihatinan ini dapat diterapkan dalam diri kita. Saya yakin selagi sikap prihatin ini ada bersama kita, tidak kira apa saja perbezaan, percanggahan dan rasa sangsi yang timbul, Malaysia akan tetap utuh dan cemerlang.

--BERNAMA

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan