'Ulang Kaji' Rukun Negara satu keperluan

04/09/2020 12:55 AM

KUANTAN, 3 Sept  -- Penganjuran program berkaitan Rukun Negara perlu dilakukan secara berkala setiap tahun sebagai 'ulang kaji' kepada semua rakyat Malaysia bagi mengukuhkan semangat perpaduan dalam menjalani kehidupan di  sebuah negara majmuk. 

Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan Perpustakaan Awam Negeri Pahang Murni Wizana Abd Ghani semasa menegaskan perkara itu berkata Rukun Negara seharusnya menjadi 'pengikat' kepada semua rakyat Malaysia yang pada masa ini semakin berdepan dengan cabaran masalah sosial. 

"Ramai yang semakin melupakan prinsip Rukun Negara terutamanya buat mereka yang sudah lama meninggalkan alam persekolahan, yang semasa itu, bacaan ikrar Rukun Negara menjadi kewajipan setiap kali perhimpunan. 

"Saya lihat program dengan pengisian Rukun Negara adalah satu keperluan pada masa ini, untuk rakyat Malaysia kembali mengingati bagaimana perpaduan kaum membantu negara memperoleh kemerdekaan dan bangkit semula selepas insiden 13 Mei 1969," katanya. 

Murni Wizana berkata demikian semasa ditemui selepas menyertai Program Jerayawara Menyemarakkan Sambutan 50 Tahun Rukun Negara oleh Pertubuhan  Berita Nasional Malaysia (Bernama) anjuran Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Perpustakaan Awam Pahang di sini, hari ini. 

Sementara itu, anak jati Chenor, Maran dekat sini, Mohd Shahrul Rezza Mohd Zahabar, 27, mengakui agak kecewa apabila mengetahui ada beberapa orang dewasa tidak dapat menjawab lima prinsip Rukun Negara apabila ditanya secara spontan kerana ia diajar sejak kecil. 

"Prinsip ini seharusnya menjadi teras kepada rakyat. Jika ia diamalkan dengan baik, sudah pasti membantu negara untuk hidup dalam suasana harmoni kerana kita saling hormat antara satu sama lain. 

"Ini selari dengan prinsip pertama Rukun Negara yang setiap agama mendidik umatnya untuk berkelakuan baik serta prinsip terakhir yang menitikkan aspek kesopanan dan kesusilaan," katanya.

Pandangan itu turut dipersetujui pembantu perpustakawan, Nur Syamilla Sahar, 32, yang menambah pengertian kepada prinsip Rukun Negara juga membolehkan rakyat hidup dalam suasana aman kerana mendukung prinsip kedaulatan undang-undang. 

Malah Rukun Negara juga menitikberatkan aspek hormat dan setia kepada raja yang seharusnya mengelakkan insiden seperti menghina institusi beraja dan tidak seharusnya berlaku, katanya. 

"Saya berharap prinsip Rukun Negara bukan sekadar menjadi ikrar yang hanya dibaca, sebaliknya setiap rakyat Malaysia tanpa mengira usia dan latar belakang perlu menerapkan setiap prinsip itu dalam kehidupan seharian," katanya. 

-- BERNAMA 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan