Leonard Linggi suntik semangat Sarawak dalam Rukun Negara

08/09/2020 11:02 AM

Oleh Hamdan Ismail

KUCHING, 8 Sept  -- Mendengar Tan Sri Leonard Linggi Jugah membicarakan mengenai pembentukan Rukun Negara, terasa seakan-akan sedang menyelak halaman buku sejarah.

Bekas menteri Sarawak berusia 80 tahun itu masih mengingati dengan jelas detik-detik penting proses merangka falsafah kebangsaan yang menjadi panduan buat rakyat Malaysia sejak 50 tahun yang lepas.

“Saya baru berusia 30 tahun (ketika itu). Ada individu seperti (bekas Naib Canselor Universiti Malaya) Profesor Datuk Dr Syed Hussein Al-Attas dan profesor akademik yang lain. Saya katakan, ini adalah sesi yang luar biasa. Memberi banyak pendidikan buat saya untuk mendengar mereka menjelaskan pelbagai konsep,” katanya.

Leonard Linggi adalah satu-satunya rakyat Sarawak dalam Majlis Perundingan Negara (NCC) yang mengadakan mesyuarat pertama pada 31 Mac 1970.

"Saya adalah anggota NCC yang mewakili (ketua menteri kedua Sarawak) di bawah pentadbiran Datuk Tawi Sli pada masa itu," katanya dalam wawancara untuk sebuah dokumentari khas Bernama, Rukun Negara: A Nation United.

Dokumentari dua episod itu dihasilkan Bernama bersempena sambutan Jubli Emas Rukun Negara untuk siaran antara 31 Ogos dan 19 Sept oleh BernamaTV di Saluran 502 ASTRO, Njoi 502, UnifiTV 631 dan MyFreeView 121, serta di laman Facebook dan YouTube rasmi BernamaTV.

Rukun Negara dilancarkan bagi mengukuhkan perpaduan negara, selepas berlakunya tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Leonard Linggi berkata walaupun konflik perkauman hanya berlaku di negeri-negeri tertentu di Semenanjung Malaysia pada ketika itu, kesan tragedi itu sangat dirasai di seluruh negara dan memerlukan usaha bersepadu daripada semua pihak untuk memastikan ia tidak berulang.

"Idea untuk membentuk NCC adalah bertujuan mencari jalan dan kaedah untuk menyatukan dan 'mengikat' rakyat kita demi perpaduan dan kemakmuran. Ideanya ialah memikirkan falsafah yang dapat diterima dengan mudah oleh orang-orang kita tanpa mengira bangsa atau agama, dan budaya mereka, ” jelasnya.

Leonard Linggi berkata, hubungan antara kaum bukanlah satu isu di Sarawak.

Beliau berkata dalam banyak keadaan, Sarawak dirujuk sebagai negeri contoh bagi masyarakat di seluruh negara atas kejayaannya mengekalkan perpaduan dalam kepelbagaian etniknya.

Disebabkan sifat semula jadi rakyat Sarawak ini, katanya, mereka tidak mempunyai masalah untuk menerapkan lima prinsip Rukun Negara, iaitu - Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, Kesopanan dan Kesusilaan.

"Sebahagian (prinsip) ini telah dipraktikkan di Sarawak sejak sekian lama. Contohnya, saling menghormati dan tingkah laku sosial yang baik... di mana sahaja di Sarawak, sama ada di Kuching, Lubok Antu, Kapit, atau Belaga, masyarakat sememangnya bergaul antara satu sama lain.

“(Di Sarawak) Kami ada orang Melayu, Cina dan Iban. Kami mempunyai jumlah pecahan kaum yang hampir sama. Tidak timbul isu bahawa satu (bangsa) mendominasi yang lain dari segi bilangan," katanya.

Oleh kerana sudah setengah abad Rukun Negara menjadi tonggak utama dalam pembangunan bangsa di Malaysia, Leonard Linggi merasakan usaha itu perlu diteruskan bagi mengekalkan kesedaran mengenai kepentingan Rukun Negara, terutama dalam kalangan generasi muda.

Mengimbas kembali, Leonard Linggi menzahirkan rasa bangga atas kejayaan NCC memperkenalkan Rukun Negara sehingga berjaya mengembalikan kestabilan negara, katanya, sambil menambah ia sangat penting untuk dihargai oleh semua rakyat Malaysia.

Katanya, tidak kira berapa banyak kemajuan yang telah dinikmati Malaysia sejak mencapai kemerdekaan, perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum tetap menjadi elemen penting yang perlu dijaga setiap masa.

"Konsep (Rukun Negara) dapat diguna pakai (sama ada) pada tahun 1970-an atau 2020. Rakyat Malaysia moden mahukan keadilan, kesamarataan, ketelusan, di sinilah bukan sahaja anda dan saya, tetapi pihak berkuasa kita, kerajaan kita, agensi kerajaan, NGO (badan bukan kerajaan) dan seluruh rakyat mesti memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Leonard Linggi, dalam banyak ucapan umumnya mengenai Rukun Negara, sering menyampaikan mesej dengan perumpamaan - prinsip itu adalah seperti jambatan gantung yang dibina menyeberangi sungai di sebuah kampung.

"Biasanya (jambatan gantung di kampung) dibina daripada buluh. Jika anda berjalan di atasnya, ia akan bergoyang-goyang. Selusur (jambatan) yang anda pegang adalah (seperti) Rukun Negara dalam perjalanan kita menuju perpaduan, yang 'memandu' kita ke jalan yang benar untuk sampai ke destinasi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan