KKMM laksana pelbagai langkah hebah Rukun Negara

10/09/2020 09:13 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept -- Bagi menyuntik semangat kekitaan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum menerusi sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara tahun ini,  Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) telah mengambil pelbagai langkah menghebahkan Rukun Negara secara meluas. 

Timbalan Menterinya Zahidi Zainul Abidin berkata Rukun Negara dihebahkan menerusi lima saluran televisyen, 34 stesen radio dan akaun-akaun media sosial.

Katanya Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menyajikan sebanyak 6,510 buah program dan kandungan tentang Rukun Negara dalam tempoh 1 Jan hingga 31 Ogos tahun ini. 

"Ini merangkumi pelbagai genre terbitannya seperti bual bicara, dokumentari, sketsa, infografik, kapsul, Pesanan Khidmat Awam (PSA) serta liputan langsung dan liputan berita," katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Negara di sini hari ini. 

Zahidi berkata kementerian juga prihatin terhadap cara mendekati anak muda dalam menyemai semangat Rukun Negara, justeru, nafas baharu diberikan kepada lagu Lima Prinsip Rukun Negara ciptaan komposer terkenal Datuk Wah Idris dengan menerbitkan klip video yang membariskan penyanyi-penyanyi terkenal masa kini. 

Sementara itu, Zahidi berkata KKMM menyambut baik cadangan Senator Robert Lau Hui Yew supaya setiap negeri diberikan peluang menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia.

Cadangan itu akan dibincangkan serta diperhalusi sewajarnya oleh pihak kementerian sebelum dibawa ke mesyuarat jemaah menteri, katanya.

-- BERNAMA



 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan