Rukun Negara perlu dihayati, bukan sekadar lafaz ikrar

11/09/2020 06:52 PM

MELAKA, 11 Sept  -- Rukun Negara perlu dihayati secara mendalam oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira umur serta latar belakang dan bukan hanya sekadar lafaz ikrar.

Pengarah Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris berkata ini kerana Rukun Negara merupakan asas kepada perpaduan, keharmonian serta keamanan rakyat berbilang bangsa yang tinggal secara majmuk sejak sekian lama di negara ini.

"Daripada kecil iaitu sejak di sekolah lagi kita telah diajar atau disuruh berikrar melafazkan Rukun Negara tetapi sebenarnya penghayatan pada Rukun Negara itu adalah lebih penting.

"Impak penghayatan Rukun Negara dalam jiwa setiap rakyat Malaysia juga akan menjadi lebih besar berbanding hanya dilafazkan secara ikrar," katanya kepada Bernama selepas Jerayawara Menyemarakkan Sambutan 50 Tahun Rukun Negara di Perpustakaan Awam Melaka di sini, hari ini.

Turut hadir Penyelaras Program Jerayawara Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara, Hasnita Ibrahim dan Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Melaka Mohd Fakri Awang Lah.

Pada majlis itu, Hasnita turut menyerahkan bahan promosi berkaitan Sambutan 50 Tahun Rukun Negara kepada Mohamed Aizammuddy untuk dihebahkan kepada pengunjung di perpustakaan negeri itu.

Mengulas lanjut, Mohamed Aizammuddy berkata pihaknya akan membantu menghebahkan sambutan 50 tahun Rukun Negara menerusi media sosial dan program anjuran Perpustam selain mengedarkan bahan promosi yang diterima seperti penanda buku.

Sementara itu, Hasnita berkata penganjuran Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara tetap berjalan lancar dan meriah walaupun dalam norma baharu ekoran penularan COVID-19.

"Kita dapat lihat contohnya di sekolah terpilih, Sambutan Ulang Tahun Ke 50 Rukun Negara memberi impak yang baik khususnya terhadap penekanan dan penghayatan Rukun Negara menerusi pelbagai aktiviti seperti kuiz," katanya.

Jerayawara itu melibatkan 26 lokasi terpilih termasuk 16 sekolah di seluruh negara sebelum berakhir pada 15 Sept ini.

Program itu juga memberi peluang kepada Bernama mempromosikan penganjuran pelbagai aktiviti berkaitan Rukun Negara serta galakan menyertai aktiviti dan program anjuran Bernama seperti Insta Challenge, Rukun Negara Hour, Webinar, e-Tressure Hunt, Bual Bicara Bersiri dan dokumentari.

-- BERNAMA

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan