Semai Rasa Kepunyaan, Jangan Pinggir Etnik Minoriti

14/09/2020 09:19 AM

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Apabila memperkatakan mengenai rasa kepunyaan ia akan menjadikan sesiapa sahaja bertindak balas sekiranya barang atau hak mereka diganggu-gugat oleh orang lain. 

Namun begitu, bagaimana pula dengan rasa kepunyaan rakyat terhadap negara ini?

Adakah setiap anggota masyarakat yang terdiri daripada latar belakang etnik, budaya dan agama yang pelbagai ini mempunyai rasa kepunyaan yang sama? 

 

WUJUD NILAI KEBERSAMAAN

Rasa kepunyaan akan lahir apabila setiap anggota masyarakat berasa ‘layanan’ yang sama, kewujudan mereka dihargai serta tidak disisih atau pun dipinggirkan. 

Tidak kiralah kaum majoriti atau minoriti di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak, jika wujud rasa kepunyaan dalam diri setiap rakyat, maka masing-masing akan saling menjaga, melindungi, memelihara dan mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman.


Prof Dr Jayum Anak Jawan.

Profesor Politik dan Kerajaan Fakulti Ekologi Manusia, yang juga Penyandang Pertama Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Jayum Anak Jawan berkata, untuk merealisasikan perkara itu, setiap wakil etnik perlu dilibatkan dalam pelbagai bidang baik di peringkat akar umbi sehinggalah ke peringkat tertinggi. 

“Peluang dan pengagihan kuasa perlu dilakukan sewajarnya termasuklah mempertimbangkan jawatan tertentu yang sesuai bagi suku etnik dari Sabah dan Sarawak untuk terlibat sama dalam urusan pentadbiran negara. 

“Ini bukanlah bermakna etnik minoriti menuntut jumlah kerusi yang sama di parlimen atau mereka semua mahu diangkat sebagai pemimpin, namun sekurang-kurangnya ada wakil dan ‘suara’ daripada suku kaum masing-masing agar mereka dapat merasa nilai kebersamaan itu wujud. 

“Janganlah dinafikan hak mereka kerana mereka juga tidak terkecuali menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara. Menidakkan peluang kepada mereka boleh dianggap sebagai tindakan mendiskriminasi dan hanya akan membantutkan usaha memupuk perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini,” katanya kepada Bernama.  

 

DUKUNG PRINSIP RUKUN NEGARA

Mengaitkan penghayatan rakyat terhadap prinsip Rukun Negara mampu menyumbang terhadap rasa kepunyaan, Jayum yang berasal dari kaum Dayak Iban di rumah panjang di Sungai Assan, Sibu, Sarawak berkata, kelima-lima prinsip iaitu Kepercayaan kepada tuhan; Kesetiaan kepada raja dan negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan undang-undang serta Kesopanan dan kesusilaan harus diangkat sebagai rujukan dalam kehidupan seharian rakyat.

Selepas 50 tahun mendukung prinsip yang dibentuk pada 31 Ogos 1970 susulan tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei,1969, rakyat katanya, perlu menjadi lebih matang, semakin serasi antara satu sama lain serta berupaya mengangkat nilai perbezaan yang wujud sebagai kekuatan kepada negara.

“Prinsip Rukun Negara perlu dibudayakan. Dalam hal ini rakyat perlu sentiasa diingatkan dan ‘disuntik’ melalui pengisian berkaitan Rukun Negara dari semasa ke semasa agar ia terus menjadi amalan.

“Setiap kumpulan etnik perlu dilibatkan dalam ruang fizikal yang sama agar boleh saling kenal-mengenali, bertukar pandangan antara satu sama lain sekaligus memupuk nilai perkongsian dan seterusnya membawa kepada pengukuhan semangat patriotisme secara holistik,” katanya sambil menambah rakyat juga perlu bijak menggunakan saluran yang betul bagi menyuarakan pandangan dan hasrat hati mereka. 

Pola politik sejak 2018 menunjukkan ‘angin’ perubahan apabila populariti kumpulan parti politik berasaskan kaum semakin kurang menjadi pilihan rakyat.

“Politik baharu hari ini menyaksikan mana-mana kumpulan parti politik perlu mendapatkan sokongan daripada pelbagai kaum. Tindakan itu bukan sahaja membuktikan keseimbangan yang ada pada parti bahkan turut menyumbang kepada keyakinan rakyat sebagai pengundi,” katanya.

 

HAPUS GENERALISASI KAUM


Suney Leo Ertza Neo a/l Sulaiman.

Berkongsi pandangan, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) (Biro Belia) Suney Leo Ertza Neo a/l Sulaiman dari Kampung Orang Asli Sungai Kiol, Jerantut, berkata, stereotaip dan generalisasi kaum perlu dihapuskan selain mengelak penggunaan perkataan tertentu yang melabel dan dianggap menghina mana-mana etnik di negara ini.

Berasal dari suku kaum Che Wong, beliau berkata, sikap saling hormat menghormati cara kehidupan, adat, budaya serta bahasa antara satu sama lain perlu menjadi amalan dalam memastikan rakyat hidup dalam keadaan aman dan harmoni. 

“Masih terdapat segelintir masyarakat yang gemar mengaitkan Orang Asli apabila melibatkan isu paras rupa, tidak mahir atau ketinggalan dalam sesuatu perkara. Walaupun ia dianggap gurauan dan sesuatu yang normal bagi mereka, namun tindakan itu sama sekali tidak wajar berlaku sekiranya semua etnik mempunyai rasa hormat yang tinggi antara satu sama lain,” katanya. 

Turut berpendapat golongan minoriti tidak boleh terkecuali daripada menikmati hasil kemakmuran negara, beliau berkata kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya berturap, sumber air bersih, elektrik serta rangkaian komunikasi perhubungan seperti telefon seharusnya tidak lagi menjadi ‘isu pokok’ yang diperjuangkan golongan itu. 

“Perkara-perkara itu kini sepatutnya telah menjadi satu keperluan hidup, bukan lagi kehendak. Jika ia masih berlaku pada hari ini maka kerajaan dan pihak berkenaan perlu lebih kerap ‘turun padang’, menyelami corak kehidupan suku kaum minoriti terutama yang tinggal di pedalaman.

“Masih ramai kanak-kanak dan remaja yang ketinggalan dalam bidang pendidikan yang perlu dibantu untuk keluar dari ‘kepompong’ kemiskinan sekaligus memperbaiki taraf hidup mereka.

“Tidak dinafikan terdapat pelbagai inisiatif telah dilakukan kerajaan namun ia perlu ditambah baik dari semasa ke semasa dan tidak bersifat ‘bermusim’ terutama apabila adanya kempen pilihan raya yang cuba menjanjikan ‘bulan dan bintang’ kepada rakyat,” katanya sambil menambah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan mana-mana pihak terlibat perlu mencari mekanisme yang lebih sesuai bagi ‘memujuk’ kaum Orang Asli untuk keluar dari ‘zon selesa’ mereka. 

 

PRIHATIN ‘SUARA’, KEBAJIKAN


Members of the Kuantan Municipal Council's Cultural Brigade dressed in the traditional attire of the various ethnic groups. --fotoBERNAMA (2020) ALL RIGHTS RESERVED

Menyifatkan kaum minoriti Orang Asli juga tidak terkecuali mempunyai semangat patriotisme yang tinggi termasuk menghormati prinsip Rukun Negara, beliau berkata, cara penzahirannya mungkin berbeza dan sukar dinilai oleh masyarakat umum. 

Bagi mengukuhkan lagi semangat itu dalam kalangan etnik minoriti, ‘suara’ dan keluhan mereka perlulah diambil kira terutama yang melibatkan kebajikan etnik.

“Antaranya mengiktiraf hari perayaan Orang Asli sebagai cuti umum sama seperti sambutan perayaan kaum lain yang ada di Malaysia. Kami juga berharap agar kerajaan dapat mengiktiraf lebih banyak Tanah Rizab Orang Asli dan kawasan rayau termasuk di Sabah dan Sarawak sepertimana kerajaan mengiktiraf Tanah Rizab Melayu.

“Pastikan juga lebih banyak penglibatan wakil Orang Asli serta Orang Asal Sabah dan Sarawak dalam agenda yang mempromosikan perpaduan masyarakat Malaysia supaya ia benar-benar mencerminkan ‘warna-warni’ etnik yang ada di Malaysia selain mengelakkan ada pihak yang merasa kaum mereka terpinggir,” katanya.  

 

Disunting oleh Cik Rashidah Abd GhaniBERNAMA

 

 


 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan