Amanat PM agenda utama pelancaran Bulan Kebangsaan esok - Saifuddin

27/07/2020 08:37 PM

PUTRAJAYA, 27 Julai -- Amanat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah agenda paling utama pada pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020, yang akan berlangsung esok, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

“Saya yakin ini adalah pentas di mana Perdana Menteri akan memberikan nasihat kepada rakyat, apa yang kita lalui dan bakal kita laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau raptai majlis pelancaran berkenaan di Dataran Perdana, Perdana Putra, di sini hari ini.

Saifuddin, yang meluangkan masa kira-kira setengah jam meninjau persiapan berkenaan, turut menyatakan rasa puas hati terhadap persediaan dan persembahan daripada semua pihak yang terlibat, termasuk Kumpulan Koir Pentarama dan Pancaragam Angkatan Tentera Malaysia.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, lagu Malaysia Prihatin yang dipilih sebagai lagu tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020, akan turut dipersembahkan buat pertama kali pada majlis berkenaan.

Katanya, lagu berkenaan bertepatan dengan slogan sambutan kali ini yang juga ‘Malaysia Prihatin’ dan sesuai dengan konteks negara sedang memerangi wabak COVID-19.

“Malaysia adalah negara kita dengan bangsanya yang pelbagai kaum, tetapi kali ini Malaysia juga bermakna petugas barisan hadapan, baik yang bertugas di hospital, polis, tentera, wartawan dan mereka yang menghantar makanan. Jadi Malaysia itu membawa maksud rakyat, kerajaan dan petugas barisan hadapan.

“Prihatin pula ialah kesungguhan, pengorbanan dan kasih sayang yang dikongsi oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Lagu berkenaan hasil ciptaan dan gubahan Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM) Datuk Mokhzani Ismail, dan lirik oleh El Sol Akhmad.

Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020, anjuran Jabatan Penerangan akan disiarkan secara langsung di RTM, bermula pada pukul 8.30 pagi esok.

-- BERNAMA

 

 


 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan