Tukang jahit terima lebih 1,000 pakaian bertemakan Jalur Gemilang

13/09/2020 08:39 AM

Oleh Norul Akma Mohd Zain

GEORGE TOWN, 13 Sept -- Setiap kali menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan, sudah semestinya banyak persiapan dilakukan bagi menyambut Bulan Kebangsaan dan tahun ini tidak ada perbezaan di sebalik ancaman pandemik COVID-19.

Seorang tukang jahit, Mahani Udit, 31, berkata Bulan Kebangsaan lazimnya bulan yang sibuk bagi beliau kerana menguruskan tempahan kostum berdasarkan corak Jalur Gemilang.

Beliau berkata pada mulanya tempahan yang diterima agak perlahan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun rezekinya bertambah murah menjelang sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

"Saya mula menerima tempahan sejak awal bulan Ogos untuk sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kira-kira 1,000 pasang kostum berasaskan Jalur Gemilang. Hingga kini saya masih menerima tempahan daripada pelanggan yang rata-ratanya pelanggan tetap," katanya kepada Bernama.

Ibu tunggal kepada tiga anak itu berkata kebanyakan kostum adalah berbentuk baju tradisional masyarakat negara ini seperti baju kurung, ceongsam, sari, baju melayu dan tudung.

“Saya kenakan harga yang berpatutan disebabkan PKP iaitu antara RM40 hingga RM200 sepasang bergantung pada rekaan dan corak, berbanding tahun-tahun sudah bermula dari RM70 hingga RM350,” katanya yang menerima sekitar 3,500 tempahan pada tahun lepas dengan kebanyakannya daripada badan bukan kerajaan dan sekolah.

Menurutnya, pada tahun ini kebanyakan tempahan datang daripada orang perseorangan melibatkan kanak-kanak selain 12 tempahan untuk bayi berusia enam bulan ke bawah.

Ini menunjukkan rakyat negara ini tetap bersemangat patriotik sekalipun berdepan pandemik COVID-19, kata Mahani, menambah beliau mampu menyiapkan hingga 30 pasang kostum sehari.

-- BERNAMA

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan