400 mural tampilkan semangat patriotik di PPR Desa Mutiara

05/09/2020 12:15 PM

JOHOR BAHRU, 5 Sept -- Kira-kira 400 lukisan mural berunsur semangat patriotik, nilai kenegaraan dan budaya rakyat Malaysia ditonjolkan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara di sini, sebagai inisiatif penghuni di situ membangkitkan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, sekali gus menaikkan lagi semangat cintakan negara.

Meskipun berdepan dengan cabaran COVID-19, ia ternyata tidak melunturkan semangat kira-kira 10,000 penduduk di 22 blok dalam meraikan sambutan bulan kebangsaan menerusi kempen yang dianjurkan PPR itu bermula 16 Ogos lepas.

Bagi pelukis termuda Nur Alyya Maisarah Muhammad Munir, dia menyifatkan dengan melukis mural dapat menampilkan ‘semangatnya’ dalam menyambut bulan yang penuh bermakna itu dengan cara tersendiri.

"Walaupun saya akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya luangkan masa untuk melukis kerana mahu menunjukkan semangat patriotik dengan libatkan diri dengan sambutan ini," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fatimah Hashim kepada Bernama ketika ditemui, di sini.

Dia yang memilih gambar harimau sebagai lukisannya, mahu menonjolkan semangat Raja Rimba itu yang juga sinonim dengan masyarakat negeri Johor serta turut ditampilkan dalam Jata Johor iaitu dua harimau yang merupakan lambang keberanian dan kekuatan.

Antara gambar mural yang telah dan sedang dihasilkan ialah logo sambutan Hari Kebangsaan pada tahun 1981, Tugu Negara, Menara Berkembar KLCC, Jalur Gemilang dan bendera Johor, lambang budaya seperti tengkolok dan keris serta buah-buahan tempatan.

Bagi Mohd Shah Md Seh, 41, yang bekerja dalam bidang pengiklanan, ini adalah satu inisiatif penduduk untuk menaikkan semangat satu Malaysia dalam kalangan masyarakat rumah PPR sekali gus memupuk semangat kerjasama dan bersatu padu.

"Kita cuba naikkan semangat patriotik bagi setiap lapisan umur tak kira tua dan muda. Sebelum ini, bukan tiada (semangat) tapi dah makin hilang. Alhamdulillah, semangat itu rasanya lebih membara untuk tahun 2020 terutama dalam berhadapan cabaran COVID-19. Syukur alhamdulillah," katanya yang sudah 12 tahun tinggal di PPR berkenaan.

Menurutnya, pemilihan gambar mural turut dilakukan secara berpasukan dan melalui ketelitian bagi memastikan ia bertepatan dengan tema dan dilaksanakan dengan sempurna.

Upacara kemuncak sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia perumahan itu akan diadakan pada Hari Malaysia 16 Sept ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan