Rakyat Malaysia di Medan raikan Hari Kebangsaan dalam normal baharu

04/09/2020 08:08 AM

SEREMBAN, 4 Sept -- Meskipun dunia masih bergelut dengan pandemik COVID-19, namun, ia tidak menjadi penghalang untuk rakyat Malaysia di luar negara meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-63.

Baru-baru ini, rakyat Malaysia di Medan, Indonesia, berpeluang menyambut Hari Kebangsaan 2020 secara sederhana dengan amalan normal baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan susulan wabak COVID-19.

Pengarah Pelancongan Malaysia di Medan, Indonesia, Hishamuddin Mustafa berkata kebiasaannya setiap tahun pada 31 Ogos, rakyat Malaysia akan berkumpul bagi menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan dengan pelbagai acara selain persembahan yang menggambarkan negara berbilang kaum.

“Tahun ini tema ‘Malaysia Prihatin’ telah dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang membawa maksud yang cukup mendalam kepada rakyat Malaysia seiring dengan situasi negara yang masih menghadapi pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini.

Mengakui sektor pelancongan turut merasai tempias akibat kesan penularan wabak itu, Hishamuddin berharap keadaan akan kembali pulih sekali gus dapat ‘menghidupkan’ semula sektor pelancongan di kedua-dua negara.

“Semoga Malaysia kekal dalam keamanan, makmur dan sama-sama kita lebih prihatin agar pandemik COVID-19 dapat diputuskan rantaiannya. Begitu juga kita doakan buat negara di mana kita berada, Indonesia,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan itu dirasmikan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, Aiyub Omar dan turut dihadiri wakil konsulat dari Singapura, Jerman, Timor Leste, Malta dan Belanda, selain Perwakilan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Medan dan Malaysia Community in Medan (MCM).

-- BERNAMA

 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan