Pupuk semangat Hari Malaysia - USIA

13/09/2020 08:21 AM

Oleh Emin Madi

KOTA KINABALU, 13 Sept -- Sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept setiap tahun perlu dijadikan asas untuk memperingati, menghayati dan memahami sejarah penubuhan Persekutuan Malaysia demi mengekalkan Malaysia sebagai negara berdaulat, kata Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).

Yang Dipertuanya Datuk Sairin Karno berkata tanpa penghayatan dan pemahaman sejarah kemerdekaan negara yang telah membawa  kepada pembentukan Malaysia, sambutan Hari Malaysia hanyalah sekadar “hari cuti umum”.

“Tarikh 16 Sept itu sangat relevan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kemerdekaan yang kita kecapi hari ini tidak mungkin berlaku sekiranya negara kita masih lagi di bawah cengkaman kolonial British. 

“Justeru, sambutan Hari Malaysia juga wajar kita gunakan untuk memperingati jasa dan sumbangan para pemimpin dan pahlawan negara terdahulu yang telah berjuang mengangkat martabat dan maruah bangsa dan negara daripada belenggu penjajahan asing.  

“Agenda kemerdekaan itu sendiri bersifat berkesinambungan, khususnya bagi mengukuhkan perpaduan dan keharmonian  antara kaum di Malaysia, yang mana  Hari Malaysia mempunyai peranan besar sebagai asas pembinaan semangat kebangsaan,” katanya kepada Bernama di sini.

Hari Malaysia yang disambut pada 16 Sept setiap tahun bertujuan memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia yang menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada 1963.

Pembentukan Malaysia berdepan pelbagai cabaran termasuk tentangan daripada Indonesia dan Filipina, yang memaksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar misi ke Borneo Utara pada 1963 yang mendapati majoriti rakyat Borneo Utara (kini Sabah) menyokong penubuhan Malaysia.

Sairin juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah itu menyarankan supaya Kementerian Pendidikan serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meneruskan kegiatan penyelidikan dan penerbitan buku-buku sejarah yang ditulis sesuai dengan jiwa rakyat yang telah merdeka.

Seorang bekas guru besar Ramlee Jalimin Jainin berpendapat bahawa Rukun Negara adalah kunci utama kepada keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia yang perlu diutamakan oleh rakyat negara ini.  

“Justeru, saya melihat ada keperluan untuk memupuk dan apresiasi tentang Rukun Negara di semua peringkat  dan  mungkin juga boleh diperkenalkan di peringkat prasekolah. 

“Saya juga ingin menyarankan agar diwujudkan kembali subjek tatarakyat di sekolah, iaitu memberi kefahaman tentang maksud patriotisme. Bahasa Melayu juga perlu diperkasakan sebagai bahasa kebangsaan,” katanya. 

-- BERNAMA

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan