Rakyat Malaysia pikul amanah besar kekal kedaulatan, kemerdekaan negara

30/08/2020 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos -- Mengekalkan kemerdekaan, kedaulatan serta keamanan negara sejak 63 tahun lepas merupakan amanah besar yang perlu dipikul oleh seluruh rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata sepertimana yang disebut oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman dalam pemasyhuran kemerdekaan pada 1957, negara hendaklah kekal merdeka dan berdaulat, dan seluruh rakyatnya aman, sejahtera selama-lamanya.

"Inilah amanah besar yang mesti dipikul oleh saya dan saudara-saudari semua. Kita mesti kekalkan kemerdekaan negara kita. Kita mesti pertahankan kedaulatan negara kita. 

"Kita mesti pelihara keamanan negara kita. Kita mesti tegakkan keadilan dan pelihara kebebasan rakyat. Kita mesti pastikan seluruh warga tanah air tercinta ini sejahtera dan sentosa selama-lamanya,” katanya dalam perutusan khas Hari Kebangsaan ke-63 yang disiarkan di semua platform RTM, Bernama TV, TV3 dan Astro Awani malam ini.

Perdana Menteri berkata walaupun Malaysia telah menempa kejayaan dan kemajuan sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta memiliki perpaduan kaum yang utuh, namun terdapat cabaran perlu dihadapi terutamanya dalam usaha menjadi negara maju.

Beliau menekankan bahawa negara perlu terus dibangunkan menjadi sebuah negara maju dan hasil kemajuannya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat secara nyata.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata kemajuan yang dimaksudkan bukan hanya dari segi angka-angka pertumbuhan ekonomi, indeks bursa saham, jumlah pelaburan langsung asing dan domestik, tetapi sumber pendapatan dan kualiti hidup setiap rakyat.

"Angka-angka pertumbuhan ekonomi hanya akan bermakna apabila saudara-saudari mempunyai sumber pendapatan mencukupi, kediaman yang selesa, pendidikan sempurna, kesihatan baik, alam sekitar yang lestari dan keselamatan sentiasa terpelihara untuk menjalani kehidupan bahagia dan sejahtera.

"Dari sebuah negara yang mundur suatu ketika dahulu, kita telah menjadi sebuah negara yang maju dalam pelbagai bidang. Kita juga bersyukur negara kekal aman dengan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama," katanya.

-- BERNAMA

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan