Sambutan normal baharu Hari Kebangsaan 2020 pasti diingati

31/08/2020 12:57 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos -- Sambutan Hari Kebangsaan 2020 pasti kekal di ingatan rakyat Malaysia kerana buat pertama kalinya ia diraikan dalam suasana normal baharu seiring keadaan negara yang masih 'berperang’ menentang COVID-19.

Pun begitu, keadaan tersebut yang membataskan kehadiran orang ramai ke lokasi sambutan Hari Kebangsaan tidak mematahkan semangat patriotik rakyat untuk mengekspresikan rasa cinta terhadap negara dengan cara tersendiri termasuk berkongsi momen dan  ucapan di media sosial.

Menggunakan tanda pagar #malaysiaprihatin dan #momennegaraku, kebanyakan rakyat turut berkongsi gambar mengibarkan Jalur Gemilang serta menzahirkan harapan agar Malaysia terus sejahtera.

Buat julung kalinya, Dataran Pahlawan Negara di Putrajaya dipilih sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ dan terhad kepada dif kehormat, anggota keselamatan dan petugas bagi memastikan majlis berjalan mengikut prosedur operasi standard.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Dataran Pahlawan Negara pagi ini dan disambut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan  isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dan isteri Datin Norlin Shamsul Bahri.

Usai nyanyian ‘Negaraku’, Seri Paduka berdua berangkat ke Dewan Serbaguna Dataran Pahlawan Negara dengan Yang di-Pertuan Agong berkenan menyampaikan Titah Diraja bersempena Hari Kebangsaan 2020 yang merupakan tumpuan utama sambutan tahun ini.  

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat ke majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2020 peringkat negeri yang diadakan di Padang Majlis Bandaraya Seremban.

Turut berangkat ke majlis  yang berlangsung secara tertutup itu, kedua-dua putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-'Abidin. Majlis turut dihadiri kira-kira 250 orang terdiri daripada barisan Exco kerajaan negeri, wakil pelbagai agensi kerajaan dan wakil petugas barisan hadapan.

Di PAHANG, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan 2020 peringkat negeri di Stadium Tertutup SUKPA di Indera Mahkota. 

Turut berangkat pada sambutan yang berlangsung dalam kebiasaan baharu itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan kepimpinan pentadbiran negeri. 

Selain perbarisan kehormat oleh pasukan beruniform, antara pengisian Hari Kebangsaan ialah bacaan ikrar Rukun Negara oleh petugas barisan hadapan menangani pandemik wabak COVID-19, persembahan koir lagu patriotik oleh Kumpulan Koir Perkhidmatan Awam Negeri Pahang dan persembahan syair dan puisi. 

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan isteri Datin Seri Munira M. Yusop hadir pada sambutan di Dataran Seri Negeri, Ayer Keroh.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil dan diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku serta upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota Rejimen Ketiga Kor Polis Tentera Diraja, Kem Terendak.

Program diteruskan dengan bacaan Ikrar Rukun Negara, persembahan deklamasi sajak, nyanyian koir dan boria oleh Ikatan Persuratan Melayu Melaka, nyanyian Koir Kebangsaan dan diikuti Perutusan Hari Kebangsaan dibacakan oleh Sulaiman.

Di TERENGGANU, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hadir menyaksikan perarakan lintas hormat kapal dan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu Kapal Maritim (KM) Pekan, KM Bagan Datuk, KM Tok Bali, KM Gemia, KM Begahak, bot Pengalang 16, bot Pengalang 45 dan bot Pengawal 16 menyelusuri muara Sungai Terengganu dan melintasi jambatan angkat.

Hadir sama Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hasim dan Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Di KOTA KINABALU, sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni serta Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri Datin Shuryani Shuaib.

Majlis sambutan yang dihadiri 250 tetamu jemputan itu dimeriahkan dengan persembahan tarian kebudayaan, koir dan deklamasi puisi.

Di SARAWAK, sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri diisi dengan acara Unity Walk sejauh 2.5 km yang dilepaskan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, menyaksikan peserta pelbagai bangsa dan latar budaya menggayakan pakaian tradisional masing-masing.

Acara jalan kaki yang bermula 9.30 pagi bermula dari Dewan Suarah dan melalui pusat bandar Simanggang, Waterfront dan kembali ke Dewan Suarah itu turut disertai Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, menteri-menteri negeri, ketua jabatan kerajaan serta ketua kaum.

-- BERNAMA

 

 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan