PUTRAJAYA, 4 Sept -- Semua pihak perlu melangkaui pemahaman politik masing-masing dengan menjunjung Perlembagaan dan nilai Rukun Negara demi perpaduan di negara ini, kata seorang ahli akademik.
Prof. Dr Sivamurugan Pandian daripada Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia berkata prinsip yang harus dipegang masyarakat dalam menegakkan perpaduan ialah kesopanan dan kesusilaan selain negara adalah milik bersama.
"Namun kini teras perjuangan golongan tertentu ialah politik dan ia mudah untuk disebarkan menerusi plaform media sosial masa kini," katanya semasa menjadi ahli panel wacana anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Putra Malaysia itu di KPT, di sini hari ini.
Wacana Bicara Kenegaraan itu bertajuk ‘Intelektualisme dan Pembangunan Negara Bangsa: Di Mana dan Ke Mana Kita?’.
Sivamurugan berkata golongan intelektual dan akademia harus menjalankan tanggungjawab sosial dalam pembinaan negara bangsa dengan berdamping dengan masyarakat dan mewujudkan komunikasi dua hala bagi memahami cara masyarakat hari ini berfikir, kemahuan dan keperluan mereka.
Seorang lagi ahli panel, Felow Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof. Datuk Dr Teo Kok Seong berkata asas pembentukan Malaysia tidak boleh disamakan dengan negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Singapura dan Filipina kerana Malaysia berteraskan integrasi manakala tiga negara terbabit berkonsepkan asimilasi.
"Dalam integrasi, puak yang berbeza boleh kekal hidup dengan cara yang berbeza. Tapi dalam asimilasi, puak berbeza tidak boleh kekalkan cara hidup masing-masing dan perlu identifikasi dengan kelompok terbanyak," katanya.
Sebagai contoh, Teo berkata masyarakat Cina di Indonesia perlu mengambil nama Jawa manakala di Singapura tidak ada sekolah vernakular.
"Di Malaysia, asimilasi hanya berlaku di Kelantan, mungkin apabila masyarakat Siam, Cina dan India di negeri itu bertutur dalam dialek Kelantan. Namun, di luar Kelantan mereka belajar bahasa Melayu mungkin sekadar untuk lulus Sijil Pelajaran Malaysia sahaja," katanya.
Teo berkata perpaduan di Malaysia yang sepatutnya menjadi semakin rapat kini menjadi semakin mencabar dan keadaan itu tidak boleh dibiarkan menjadi lebih parah pada masa akan datang.
Seorang lagi ahli panel, penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi Mara Prof. Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata kajian perlu dijalankan bagi mengenal pasti sama ada sekolah vernakular menjejaskan perpaduan di negara ini.
"Kajian itu akan membantu kerajaan membuat keputusan dengan cepat berhubung isu sekolah vernakular kerana isu berkenaan merupakan satu topik panas yang boleh menjadi isu perkauman dan memberi kesan dalam hubungan etnik," katanya.
-- BERNAMA
TENTANG KAMI
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com
Kategori
• Am
• Ekonomi
• Sukan
• Politik
• Dunia
• Rencana
• Tinta Minda
• Infografik
• Video
• Images
• Siaran Media Eksklusif
Hak Cipta