Taman Rukun Negara akan diwujudkan di Labuan - Annuar

07/09/2020 02:23 PM

KUALA LUMPUR, 7 Sept -- Kerajaan bercadang untuk mewujudkan sebuah Taman Rukun Negara di Labuan dalam masa terdekat bersempena sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara sekali gus menjadi mercu peringatan kepada generasi akan datang.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata Labuan dipilih sebagai lokasi pembinaan taman awam itu kerana kedudukannya yang strategik berhampiran dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak.

"Taman awam yang didedikasikan seperti ini mempunyai 'roh' dan makna tertentu serta ia bukanlah hanya sekadar taman biasa. Kewujudan taman ini juga dapat membantu memperluaskan lagi penghayatan kepada amalan Rukun Negara itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sesi Maklum Balas Rakyat Berhubung Draf Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 Peringkat Wilayah Persekutuan, di sini hari ini. 

Sesi itu merupakan usaha daripada Kementerian Perpaduan Negara untuk mendapatkan maklum balas, cadangan serta pandangan bernas daripada semua pihak berhubung Draf PTPN yang akan dilaksanakan pada Januari 2021.

Mengulas lanjut mengenai Taman Rukun Negara itu, Annuar berkata pembangunan taman awam yang dilaksanakan dengan penyertaan serta sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk orang perseorangan, akan dibincang dan diperincikan dengan Perbadanan Labuan. 

"Selain menjemput pakar daripada Jabatan Landskap Negara dan perunding swasta, kita juga telah berhubung dengan individu tertentu yang ingin menyumbang seperti bahan artifak untuk pembangunan taman ini," katanya.

-- BERNAMA

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan