Hasrat Pengumpul Setem Miliki Edisi Khas 50 Tahun Rukun Negara Tercapai

18/08/2020 04:33 PM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 18 Ogos -- Hasrat seorang pengumpul setem untuk memiliki setem edisi khas 50 Tahun Rukun Negara sejak sebulan lepas yang baginya mempunyai makna sangat istimewa, akhirnya tercapai apabila koleksi setem itu mula dijual kepada orang ramai hari ini. 

Mohd Sidek Roslan yang mengumpul setem sejak 2015, berkata edisi kali ini sememangnya dinanti-nantikan dan dia sendiri telah menunggu sejak sebulan lepas untuk mendapatkan setem berkenaan sebaik mengetahui edisi khas itu akan dikeluarkan oleh Pos Malaysia Bhd.

“Setem ini istimewa bagi saya sebab kita raikan 50 tahun Rukun Negara...saya sering ke pejabat pos untuk bertanya bila edisi khas ini akan dikeluarkan.

“Bila dapat tahu dekat Instagram, edisi ini keluar pada 18 Ogos, saya luangkan waktu khusus supaya tidak terlepas untuk beli setem edisi khas ini sebab bagi saya setem ini ada kualiti tersendiri kerana ada warna emas,” katanya yang bekerja sebagai konsultan latihan di sebuah tadika kepada Bernama, di sini hari ini.

Mohd Sidek yang membeli tiga set folder setem itu berkata sekiranya tiada COVID-19, sudah semestinya sambutan orang ramai untuk mendapatkan setem itu lebih meriah kerana kebiasaannya orang ramai akan beratur panjang untuk mendapatkan edisi khas setem yang dikeluarkan Pos Malaysia itu.

“Pengumpul setem kebanyakannya adalah warga emas dan ada dari Singapura, jadi mungkin disebabkan COVID-19, mereka takut untuk keluar dan tidak boleh rentas sempadan...lagi pula sekarang ini setem Pos Malaysia boleh dibeli secara dalam talian tetapi saya pula lebih suka beli sendiri di pejabat pos,” katanya.

Katanya, setem itu membawa makna yang sangat signifikan dan istimewa kepadanya memandangkan Rukun Negara baginya merupakan satu tanda perpaduan rakyat.

“Sejak dari sekolah lagi kita telah hafal Rukun Negara ini, lima prinsip itu membawa makna yang berbeza dan bagi saya rakyat Malaysia perlu menghayati setiap prinsip itu.

“Sama ada dari perspektif sosial mahupun perpaduan, Rukun Negara merangkumi seluruh aspek dan bangsa,” katanya yang mewarisi hobi berkenaan daripada arwah bapanya.

Sementara itu, Yeow Seng Leong berkata dia tidak melepaskan peluang untuk membeli edisi khas itu kerana setem itu mempunyai warna yang sangat menarik dan berbeza-beza.

“Saya memang pengumpul setem sejak 20 tahun lepas, bermula dari sekolah. Jadi apabila ada setem Rukun Negara, saya tidak lepaskan peluang. Walaupun hari ini bekerja, saya ambil masa sedikit untuk beli,” kata lelaki berusia 45 tahun itu.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Pejabat Pos Besar di bandar raya ini mendapati orang ramai mula mendapatkan setem edisi khas itu seawal pukul 8.30 pagi tadi.

Siri setem khas dan sampul surat hari pertama 50 Tahun Rukun Negara keluaran Pos Malaysia mula dijual hari ini melalui kedai dalam talian www.eziemall.com dan pejabat pos di seluruh negara.

Sampul surat hari pertama bersama setem dan sampul surat hari pertama bersama lembaran mini juga boleh didapati masing-masing pada harga RM3.50 dan RM5.50.

Bagi melengkapkan koleksi ini, sebanyak 2,000 folder keluaran khas boleh dibeli secara berasingan pada harga RM6 setiap satu.

-- BERNAMA

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan