Sambutan Jubli Emas Rukun Negara bermula penuh patriotik

09/07/2020 03:41 PM

PUTRAJAYA, 9 Julai -- Pelancaran sambutan Jubli Emas Rukun Negara yang akan berlangsung selama tiga bulan, disambut dalam suasana penuh perpaduan dan patriotik walaupun dalam situasi negara sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berikutan wabak COVID-19.

Pelancaran disempurnakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu merupakan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini. 

Berikutan pelaksanaan PKPP kini yang mengehadkan hanya 250 orang dalam sesuatu acara, majlis penting itu turut disiarkan secara langsung di Bernama TV (Astro 502, myFreeview 121 dan unifi TV 631), RTM, Astro Awani dan platform media sosial.

Acara dimulakan dengan amanat daripada Perdana Menteri yang menyentuh mengenai perpaduan yang erat dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum, agama, budaya dan kepercayaan.

Usai menyampaikan amanat, perdana menteri kemudian melafazkan ikrar Rukun Negara bersama-sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique, berserta enam pelajar sekolah menengah dan tujuh pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang mewakili Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara.

Sebagai kemuncak acara, Muhyiddin kemudian melancarkan logo rasmi sambutan jubli emas Rukun Negara itu yang julung kali dicipta, hasil kerjasama antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Jabatan Penerangan dan Kumpulan Media Karangkraf.

Dipancarkan di layar skrin dengan animasi 3-Dimensi, logo yang julung kali dicipta  itu menggabungkan empat warna Jalur Gemilang dengan mengetengahkan antara lain lima jalur merah putih simbolik kepada lima prinsip Rukun Negara.

Ia turut menampilkan bulan dan bintang melambangkan prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan dan tengkolok simbolik kepada prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang. 

Angka 50 melambangkan Sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara dan biru simbol amalan perpaduan dalam Kesopanan dan Kesusilaan.

Bagi mengabadikan detik bersejarah itu, setem khas bertemakan ‘Lima Puluh Tahun’ turut dilancarkan.

Setem dengan lima reka bentuk itu menampilkan setiap prinsip Rukun Negara, logo sambutan 50 tahun Rukun Negara dan Bunga Raya.

Perdana Menteri kemudian melawat galeri pameran bertema Rukun Negara, yang memaparkan bahan-bahan dan gambar bersejarah penggubalan Rukun Negara.

Memeriahkan lagi acara, lagu Rukun Negara yang digubah Datuk Mokzani Ismail, dinyanyikan oleh penyanyi terkenal kelahiran Sarawak, Dayang Nurfaizah bersama penyanyi lagu patriotik popular Roy.

Disusuli penyanyi Datuk Syafinaz Selamat bersama dua lagi penyanyi yang sedang meningkat naik, Afieq dan Wani menyampaikan lagu Lima Prinsip Rukun Negara hasil ciptaan Datuk Wah Idris. 

Program yang dianjurkan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Perpaduan Negara itu, turut mengatur pelbagai program bermula 9 Julai sehingga Hari Malaysia pada 16 Sept.

Antara program yang dirancang adalah Insta Challenge, Rukun Negara Hour, Webinar, e-Treasure Hunt, Pengisahan Negara, Ted Talk Kenegaraan, Bual Bicara Bersiri, Dokumentari dan Bicycleton.

-- BERNAMA

 

 

 


 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan