Muhyiddin lancar Bulan Kebangsaan dan kempen kibar Jalur Gemilang

28/07/2020 08:46 AM

KUALA LUMPUR, 28 Julai -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini dijadual merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2020 di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Sebaik tiba, bacaan doa akan diadakan sebelum Muhyiddin menyampaikan amanat sempena majlis pelancaran itu diikuti upacara menaikkan Jalur Gemilang dan nyanyian lagu Negaraku.

Ia akan diiringi pancaragam Angkatan Tentera Malaysia sebelum persembahan lagu tema sambutan Malaysia Prihatin oleh kumpulan Pentarama, Jabatan Penerangan Malaysia.

Perdana menteri kemudian akan melepaskan kembara Info On Wheels (IOW) Merdeka.

Program kembara IOW Merdeka bertujuan menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan rakyat pelbagai peringkat, hebahan mesej kenegaraan, menggalakkan orang ramai untuk mengibarkan Jalur Gemilang di samping sebahagian pengisian Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2020.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020. 

Selain di Putarajaya, program yang sama turut diadakan di peringkat negeri dengan majlis pelancaran disempurnakan oleh menteri besar masing-masing iaitu Perak, Johor, Selangor, Kelantan, Sabah, Pahang, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Perlis.

Acara sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini diadakan secara sederhana berikutan pandemik COVID-19 menyaksikan tiada acara perbarisan dilakukan seperti kelaziman.

Selain majlis pelancaran itu, dua lagi acara utama yang akan turut diadakan adalah Sambutan Hari Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos dan Sambutan Hari Malaysia di Sibu, Sarawak  pada 16 Sept.

Sebelum itu turut diadakan sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara bermula 9 Julai lalu.

-- BERNAMA

 

 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan