173 menara jalur lebar luar bandar siap suku pertama 2021 - Saifuddin

04/08/2020 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos -- Pembinaan 173 menara perkhidmatan jalur lebar di kawasan luar bandar dan pedalaman dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya secara berperingkat mulai suku pertama 2021, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata proses menaik taraf 3,324 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada di luar bandar dan pedalaman bagi perkhidmatan 4G pula, kini siap 99.8 peratus.

“Sejak 2014 hingga kini, sepanjang 2,406 kilometer gentian optik telah dipasang sebagai rangkaian teras bagi penyediaan perkhidmatan jalur lebar mudah alih 4G dan sebanyak 146,040 sambungan perkhidmatan jalur lebar talian tetap telah disediakan.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 114,143 sambungan (78 peratus) telah dilaksanakan di luar bandar, manakala 31,897 sambungan (22 peratus) dilaksanakan di kawasan perumahan kos rendah di seluruh negara,” katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata sehingga Jun lepas, sebanyak 1,689 menara dibina di kawasan luar bandar dan pedalaman di seluruh negara bagi penyediaan liputan jalur lebar mudah alih.

Saifuddin berkata bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar talian tetap pula, inisiatif menaik taraf rangkaian berasaskan tembaga kepada gentian optik melibatkan 933,724 pelanggan sedia ada di seluruh negara sedang dilaksanakan dalam tempoh dua tahun ini.

Menyentuh isu pengagihan jalur spektrum di negara ini, beliau berkata ia tertakluk kepada kerangka kerja di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan perundangan subsidiari yang relevan termasuk Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000, kerana spektrum adalah sumber negara yang terhad.

Justeru itu katanya, agihan spektrum perlu dibuat dengan cekap bagi memastikan penggunaannya dibuat secara optimum dan mendatangkan hasil yang menguntungkan negara selain manfaatnya dinikmati rakyat melalui perkhidmatan yang lebih berkualiti.

“Sekiranya pengagihan dibuat tanpa kajian menyeluruh, dikhuatiri berlaku pembaziran sumber yang seterusnya memberi kesan kepada hasil negara.

“Agihan jalur spektrum untuk perkhidmatan jalur lebar dan perkhidmatan 5G akan dikaji semula dengan mengambil kira pengagihan spektrum sedia ada melibatkan sektor telekomunikasi negara,” katanya.

Beliau berkata melalui Makmal Infrastruktur Digital Negara kementerian itu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pihak industri dan pelbagai agensi kerajaan sedang merancang bagi memantapkan kualiti serta liputan perkhidmatan digital menggunakan pelbagai teknologi.

-- BERNAMA

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan