Sultan Selangor mahu Rukun Negara diperkasa, bina negara bangsa disegani

28/08/2020 04:36 PM

SHAH ALAM, 28 Ogos -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu lima prinsip Rukun Negara yang digubal pada tahun 1970 diperkasakan semula ke arah membina sebuah negara bangsa yang berdaulat dan disegani.

Menurut kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini, baginda berpandangan kurangnya penekanan terhadap Rukun Negara sejak tahun 80-an sehingga sekarang menyebabkan masih ada rakyat tidak mengamalkan asas-asas yang didukung menerusi prinsip tersebut.

 Sultan Sharafuddin turut berpandangan masih kurang penghargaan dan apresiasi terhadap prinsip Rukun Negara diterapkan dalam agenda perpaduan nasional.

“Ia berpunca daripada kelemahan segelintir rakyat dalam mendukung keluhuran Perlembagaan Persekutuan menerusi setiap tindakan serta kegagalan menghormati kedaulatan institusi raja di negara ini,” titah baginda dalam kenyataan itu.

Justeru, Sultan Sharafuddin mahu lima prinsip Rukun Negara itu bukan sahaja dihafal tetapi terus dihayati, diamalkan dan dipraktikkan dalam kehidupan rakyat di negara ini.

Bagaimanapun, Istana Alam Shah menyatakan baginda gembira dan sukacita melihat perkembangan semasa apabila ada usaha-usaha serius untuk menerapkan prinsip Rukun Negara ke arah memperteguh keharmonian sesama kaum di Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Sultan Sharafuddin percaya, sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, keteguhan perpaduan sedia ada mampu diperkukuhkan lagi sekiranya setiap rakyat memahami dengan sepenuh hati tentang sejarah dan perjuangan bangsa, terutamanya prinsip yang digariskan dalam Rukun Negara.

Pada masa sama, Sultan Selangor menyeru rakyat Malaysia supaya mengambil teladan daripada kaedah penghayatan dan pemahaman rakyat Indonesia terhadap prinsip nasional mereka menerusi ‘Pancasila’ yang diamalkan secara serius dan terbukti berkesan dalam memupuk semangat patriotisme.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengutus ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-63 kepada seluruh rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan