Platform bersesuaian pupuk belia cinta negara - KP JHEV

14/09/2020 12:44 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept -- Lebih banyak platform bersesuaian boleh diketengahkan mengikut kesesuaian golongan belia bagi memupuk perasaan cintakan negara, kata Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Mej Jen Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Beliau berkata jika ruang itu disediakan, golongan belia dilihat lebih bersifat terbuka selain mempunyai cara sendiri bagi menzahirkan semangat patriotisme dalam diri mereka.

“Perasaan sayangkan negara itu datang dalam pelbagai bentuk dan bukan hanya secara konvensional seperti diminta mengibarkan bendera. Bagi saya semangat itu masih ada, cuma auranya sudah tidak sama seperti masyarakat dahulu.

“Namun, tidak dinafikan segelintir dalam kalangan belia lebih suka bersantai atau berhibur berbanding mengisi masa dengan menyertai program-program kemerdekaan," katanya kepada Bernama sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 di sini baru-baru ini.

Menurut Dzulkarnain pemupukan nilai-nilai patriotik dalam kalangan belia sebaiknya bermula daripada usia kanak-kanak lagi.

"Pendidikan awal di rumah menjadi teras utama dalam menyemai semangat patriotisme di dalam jiwa mereka, kerana ibu bapa adalah pendidik utama memberi kesedaran selain pendedahan mengenai pengorbanan generasi terdahulu," katanya.

Beliau berkata pihak tertentu juga perlu memainkan peranan dalam mengkomersialkan kisah-kisah perjuangan serta pengalaman pahit getir veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa era peperangan suatu masa dahulu.

"Ia juga boleh dilakukan dengan cara menjadikan kisah sejarah ini sebagai subjek teras dalam pendidikan yang boleh menyemai semangat sayangkan tanah air.

"Jika dilihat veteran ATM sendiri, mereka sentiasa bersiap sedia mempertahankan maruah dan kedaulatan negara daripada segala bentuk ancaman jika diperlukan pihak kerajaan," katanya.

Beliau berkata golongan veteran ini mempunyai semangat serta nilai patriotisme yang tinggi biarpun rata-ratanya sudah menggantung seragam atau senjata (bersara),” katanya menambah nilai patriotisme dalam diri anggota veteran ATM terhadap negara amat tinggi dan tidak perlu dipersoalkan.

-- BERNAMA

 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan